NUBE sasar kutip sejuta tandatangan hapus fi RM1

Iklan
Kenyataan NUBE menyasarkan untuk mengumpul sejuta tandatangan sebagai gesaan kepada kerajaan agar menghapuskan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin ATM - Gambar hiasan (Gambar kecil: J Solomon)

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyasarkan untuk mengumpul sejuta tandatangan sebagai gesaan kepada kerajaan agar menghapuskan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ia merupakan antara inisiatif kempen anjuran NUBE bagi meningkatkan kesedaran dan membangkitkan sokongan orang ramai berhubung isu bayaran fi berkenaan.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, tandatangan itu akan disampaikan kepada Kementerian Kewangan sekali gus menunjukkan kesan yuran tersebut kepada masyarakat golongan berpendapatan rendah.

"Walaupun RM1 mungkin tidak kelihatan besar bagi sesetengah orang, namun jumlah itu bertambah dari masa ke masa dan ini membebankan golongan berpendapatan rendah.

Iklan

"Ia adalah satu ketidakadilan untuk PayNet terus mengaut keuntungan berjuta-juta dengan mengenakan bayaran RM1 untuk pengeluaran ATM dari bank lain daripada bank pengeluar.

"Pada tahun 2023 sahaja, PayNet melaporkan hasil kasar RM544 juta dan untung bersih RM271 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, kempen tersebut berlangsung secara fizikal dan dalam talian melalui laman web rasmi NUBE dan Change.org.

"Penganjuran ini tepat pada masanya memandangkan ramai masyarakat merasai tekanan kewangan pada masa kini.

"Majoriti mereka yang terjejas oleh yuran RM1 adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, termasuk ramai ahli NUBE,” ujarnya.

Jelasnya, kempen itu juga mencerminkan dedikasi NUBE untuk memperjuangkan hak pekerja dan kesejahteraan ekonomi semua rakyat Malaysia.

"Dengan mengumpul sokongan daripada orang ramai, NUBE meminta tindakan segera daripada kerajaan untuk menangani isu penting ini.

"Untuk rakyat Malaysia, sila ke laman web NUBE di https://www.nube.org.my/hapus_caj_rm_one, dan tapak Change.Org di https://www.change.org/HapusCajRM1, untuk menandatangani petisyen,” ujarnya.