Isteri maut, suami parah, motosikal terbabas elak anjing

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki bersama suami terbabas dipercayai ketika cuba mengelak anjing di Lebuhraya Tun Razak berhampiran Taman Resedensi Prima Gambang 1, Gambang di sini pada malam Isnin. - Foto: FB Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang wanita maut manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika mengelak anjing di Lebuhraya Tun Razak berhampiran Taman Resedensi Prima Gambang 1, Gambang di sini pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam nahas kira-kira jam 9.25 malam itu, mangsa, Maizatunorita Awang, 42, yang beralamat dari Felda Lepar Hilir 2 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suami mangsa, Nik Mohd Sabri Nik Yusof, 43, cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Taman Resedensi, Gambang.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai cuba mengelak anjing menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas di atas jalan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pihak polis mengesan saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan