BBP Benta beri kelegaan penduduk, pengguna LTU

Iklan
Wan Rosdy (tengah) bersama Aiman Athirah (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian majlis pecah tanah BBP Benta pada Selasa.

LIPIS - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta di sini bakal memberikan kemudahan dan kelegaan buat kira-kira 30,000 penduduk serta kawasan sekitar termasuk pengguna di Lebuhraya Tengah Utama (LTU).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BBP Benta yang akan mula dibina tahun depan dengan kos RM4.5 juta sekali gus memudahkan proses penyaluran bantuan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan terlibat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini penduduk menghadapi kesukaran apabila berlaku kejadian kecemasan memandangkan BBP terdekat terletak sejauh 30 kilometer dan memerlukan respons selama 34 minit.

Wan Rosdy (tengah)mendengar taklimat pembinaan BBP Benta daripada Pengarah JKR Pahang, Datuk Ir Ts Hafizah Zakaria.

"Kejadian kecemasan ini bukan bermakna kebakaran sahaja, sebab kita tahu pasukan bomba ini adalah yang paling terdahulu (sampai) di lokasi apabila berlaku kemalangan dan banjir atau bencana lain seperti tanah runtuh.

Iklan

"Maknanya, jika berlaku kejadian (kemalangan) di LTU sebagai contoh, pasukan bomba boleh digerakkan ke lokasi dan tiba dengan lebih cepat berbanding sebelum ini perlu tunggu bantuan dari BBP Raub dan Lipis.

"Justeru, saya harap pembinaan BBP Benta boleh disiapkan lebih awal dari jadual... walaupun tempoh (diberikan) setahun setengah, tapi kalau boleh siap dalam masa setahun lagi bagus," katanya.

Iklan
Wan Rosdy(tiga dari kiri) menyerahkan suratan hak milik tanah balai itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad

Beliau berkata sedemikian pada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah BBP Benta di Pekan Benta di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd.Razak.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, BBP Benta merupakan projek pembinaan Balai Bomba kategori D yang akan dilengkapi dengan ruang jentera, padang kawad dan menara, stor logistik dan lain-lain.

"Cadangan pembinaan BBP Benta ini pada asalnya merupakan projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang telah diluluskan kerajaan pada tahun 2023 di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

"Setelah BBP Benta siap dibina kelak, ia akan menjadi BBP yang ke-31 di Pahang selepas siap projek pembinaan BBP Sungai Lembing dan BBP Goh Tong Jaya selesai," tambahnya.

Setakat ini, Pahang memiliki 28 BBP yang terdiri daripada dua kategori A, enam kategori B; 14 kategori C dan enam kategori D.