PELABUHAN KLANG - Penyeludupan kontraban merekodkan antara hasil rampasan tertinggi melibatkan 7,756 kes jenayah maritim berjumlah RM216 juta yang ditumpaskan sejak Januari sehingga November lalu.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, jenayah rentas sempadan antara cabaran utama yang dihadapi Pasukan Polis Marin dalam menguatkuasakan undang-undang yang ditetapkan.
"Antara jenayah rentas sempadan ini melibatkan penyeludupan kontraban termasuk rokok, minuman keras, dadah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang serta barang keperluan asas.
"Bagaimanapun statistik merekodkan keberhasilan operasi dijalankan Pasukan Polis Marin antara yang paling tinggi melibatkan rampasan berjumlah 7,756 kes bernilai RM261 juta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Pasukan Polis Marin (PPM di Dewan Komuniti Markas Operasi PPM Wilayah 1 di sini pada Selasa.
Menurutnya, pada masa sama kerajaan diharap dapat menambah baik keperluan pasukan itu dari segi kekuatan aset dalam meningkatkan kecekapan operasi yang dijalankan.
"Kita lihat kepesatan teknologi masa kini mampu menjadikan modus operandi digunakan penjenayah lebih maju bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Terutamanya dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (Ai) dan sebagainya ia akan sedikit membantutkan usaha kita, bagaimanapun ia diatasi menerusi latihan yang dijalankan secara berterusan," katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, terdapat 20 projek penambahbaikan, menaik taraf dan perolehan pelbagai jenis dan kelas aset ronda dan peralatan yang akan diperolehi dalam jangka masa lima tahun.
"Perolehan baru terkini adalah lima buah bot laju, 10 bot ronda untuk kegunaan operasi jangka masa pendek di laut, dan dua kapal ronda yang akan digunakan sebagai kapal logistik dan latihan.
"Selain itu, perolehan turut melibatkan 85 unit General Purpose Machine Gun (GPMG), empat Remote Control Weapon System (RCWS) dan lima unit RCWS untuk kegunaan pelbagai aset ronda PPM yang berkemampuan tinggi untuk beroperasi lebih lama di perairan negara," katanya.
Jelasnya, projek pembinaan markas baharu juga antara usaha memantapkan lagi pengoperasian Pasukan Polis Marin di perairan negara.
"Projek yang sedang berjalan sekarang ialah pembinaan Markas Wilayah Pasukan Polis Marin yang baru di Tok Bali, Kelantan dan Pangkalan Hadapan di Pulau Mabul, Sabah.
"Turut dalam pembinaan adalah Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Muar, Johor yang bakal memperkasakan penugasan di perairan negara," katanya.