STADIUM keramat Manchester United - Old Trafford yang terkenal dengan gelaran 'The Theatre of Dreams' tidak segah namanya apabila ia kini semakin uzur dan menjadi sarang pembiakan tikus kerana kedudukannya yang terletak berhampiran berhampiran terusan dan landasan kereta api.
Menurut laporan Daily Mail, kesan najis tikus telah ditemui semasa lawatan terbaharu pemeriksa kebersihan.
Susulan itu, penilaian kebersihan makanan di kelab tersebut merosot kepada hanya dua bintang, berbanding sebilangan besar kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) lain yang rata-ratanya mempunyai penarafan maksimum lima bintang.
Pihak kelab kini bekerjasama dengan pihak kawalan serangga perosak dan majlis tempatan untuk melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani masalah tersebut.
Menurut sumber, pemeriksa kebersihan menemui bukti aktiviti dan najis tikus di suite korporat tingkat bawah dan kiosk yang menjual makanan kepada peminat di kawasan concourse.
Susulan itu, penarafan kebersihan makanan United diturunkan daripada empat bintang kepada dua bintang, dengan arahan untuk melakukan penambahbaikan.
Pada 2015, Mail Sport mendedahkan Manchester United bekerjasama dengan kontraktor kawalan serangga untuk menangani masalah tikus di bahagian North dan South Stand.
Malah, ada tikus yang dilihat di pejabat yang menempatkan kakitangan.
Masalah tersebut bertambah buruk ketika musim sejuk kerana suhu yang lebih sejuk mendorong haiwan perosak ini mencari kawasan yang lebih hangat dan terlindung.
Dengan kehadiran sekitar 74,000 orang setiap kali perlawanan diadakan, Manchester United juga perlu berdepan dengan sejumlah besar sisa sampah.
Kini, kawalan serangga dilaporkan melawat Old Trafford sebanyak empat hingga lima kali seminggu.
Pihak kelab berusaha keras untuk meningkatkan penarafan kebersihan mereka kepada lima bintang ‘secepat mungkin,’ menurut sumber dalaman.
Begitupun, tiada penemuan tikus berlaku di kawasan di mana makanan disediakan.
Masalah tikus merupakan isu terkini yang melanda stadium yang dibina pada 1910 itu, di mana kebocoran air sering berlaku.
Lebih memalukan, rakaman sidang media Ruben Amorim selepas kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth pada Ahad menunjukkan air menitis dari bumbung.
Manchester United bersama pemilik baharu Sir Jim Ratcliffe dan INEOS, kini sedang menilai sama ada untuk membina stadium baharu atau menaiktaraf Old Trafford.
Manchester United sebelum ini pernah menerima hanya satu bintang selepas hidangan ayam mentah diberikan kepada tetamu dalam satu acara korporat.
Penarafan itu kemudiannya dinaikkan kepada empat bintang pada November semasa pemeriksaan.
Mengulas isu tikus di Old Trafford, seorang jurucakap Manchester United yang enggan dinamakan berkata;"Manchester United melaksanakan sistem kawalan serangga perosak yang kukuh di seluruh Old Trafford.
"Pemeriksaan mingguan dilakukan di semua kawasan katering, dan langkah-langkah ketat diambil untuk memastikan tahap kebersihan dan kebersihan adalah tinggi di tempat penyimpanan, penyediaan dan penyajian makanan.
"Jika insiden seperti ini berlaku di stadium, tindakan segera dan sewajarnya diambil" katanya.