Nahas 5 kenderaan: JPJ diarah siasat terperinci, ambil tindakan susulan

Iklan
Anthony Loke

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa dalam insiden di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS) arah utara di Melaka pada Isnin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ turut diarah untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

Iklan
Iklan

"JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

Iklan

"Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban," ujar Anthony.

Dalam insiden jam 8.30 malam Isnin, mangsa yang maut ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri, Fauziah Jaafar, 69, pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV, sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.

Setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.

Bas pelancong yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.