Kelapa melawas punca harga naik mendadak

Iklan
Kekurangan kelapa di pasaran dijangka akan diatasi menjelang Mac dan April tahun depan. Gambar kecil: Muniswaran

IPOH - Kekurangan kelapa disebabkan buah melawas di ladang menjadi punca harga di pasaran naik mendadak ketika ini.

Bagi peraih kelapa, Muhammad Azrul Azim Asri, keadaan itu tidak pernah berlaku dalam tempoh lima tahun sebelum ini kerana hampir sepanjang masa berlaku lambakan kelapa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harga yang peraih beli ketika ini sekitar RM1.80 sebiji berbanding hanya RM1.30 sebiji sebelum ini.

Permintaan terhadap kelapa muda yang tinggi sebelum ini menyebabkan kelapa tua berkurangan selain faktor buah melawas.

"Memang diakui harga di ladang sekarang ini ada peningkatan disebabkan buah berkurangan. Kelapa muda banyak tetapi kelapa tua yang susah nak dapat sebab buah melawas.

Iklan

"Sebelum ini buah memang melambak dan sentiasa ada tapi baru kali ini buah tiba-tiba berkurang. Dari satu sudut memang peraih dan pekebun untung tapi barang susah dapat walaupun ada duit," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Azrul Azim yang berasal dari Bagan Datuk berkata, kelapa berkenaan dihantar untuk pasaran Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan selain beberapa tempat di Perak seperti Gerik serta Ipoh.

Iklan

Menurutnya, setiap penghantaran ke kedai-kedai sebanyak 3,500 hingga 4,000 biji kelapa bergantung kepada permintaan.

Bekalan kelapa tua yang diraih Muhammad Azrul Azim untuk dihantar ke pasaran Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, selain itu juga kelapa import dari Indonesia juga mempengaruhi pasaran kerana bekalan dari negara jiran juga difahamkan turut terjejas akibat kelapa melawas.

Jelas Muhammad Azrul Azim, kelapa import ketika ini dijual lebih mahal berbanding kelapa tempatan.

Sementara itu, bagi seorang lagi peraih, S Muniswaran juga mengakui harga bagi kelapa tua ketika ini sangat tinggi disebabkan kekurangan buah di ladang.

Menurutnya, keadaan itu disebabkan ketika cuaca panas sekitar bulan Jun dan Julai lalu, pekebun memilih untuk menjual kelapa muda kerana pada ketika itu lebih menguntungkan berbanding kelapa tua.

Katanya, disebabkan itu kelapa tua berkurang ketika ini dan perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk keadaan kembali pulih dan harga di pasaran turun seperti sebelum ini.

"Masa musim panas, buah kelapa tua tak berapa laku, jadi ramai pekebun kait kelapa muda sebab pasaran ketika itu meningkat.

"Saya fikir dalam bulan Mac atau April, buah kelapa ini akan kembali cukup seperti sedia kala dan mudah diperoleh," katanya yang juga kontraktor Ladang Kuala Perak, Bagan Datuk.

Menurutnya, pasaran kelapa ketika ini lebih tertumpu kepada kelapa muda kerana ia lebih menguntungkan disebabkan buah mudah diperoleh.

Jelasnya, kebanyakan buah kelapa muda tersebut dijual untuk pasaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.