DPMM tekad bantu kerajaan, bangunkan Bandar Malaysia di bawah KLCCH

Iklan
DPMM tekad membantu kerajaan membangunkan sebidang tanah rizab Melayu berkeluasan 50 ekar di bawah KLCCH. Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Yazid)

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) tekad untuk membantu kerajaan membangunkan sebidang tanah rizab Melayu berkeluasan 50 ekar di bawah KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH).

Setiausaha Agungnya, Ahmad Yazid Othman berkata, ia merupakan sebahagian daripada perancangan Bandar Malaysia sebagai memenuhi harapan dan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga dijadikan kesinabungan kepada perbincangan yang sedang berlangsung bersama pengurusan Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB).

"Kami amat menghargai iltizam yang ditunjukkan oleh pengurusan BMSB menyokong usaha kerajaan memastikan keterlibatan DPMM dan pemilikan hartanah Bumiputera dalam membangunkan sebuah kota metropolitan khususnya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dapat direalisasikan.

Iklan

"DPMM sebagai pertubuhan yang dianggotai usahawan dan teknokrat mewakili pelbagai sektor ekonomi mampu menggembeling pakar-pakar yang mampu membina mercu tanda bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, KLCCH selaku anak syarikat milik Petronas dilaporkan mengesahkan pembelian sebidang tanah seluas 486 ekar daripada Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Land Bhd pada 4 Oktober lalu.

Iklan

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media mengenai anak syarikatnya, KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP), membeli tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia pada harga lebih RM10 bilion.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata, DPMM menerima permakluman berkenaan sebagai satu langkah proaktif dan strategik antara kerajaan dan Petronas sekali gus menandakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan kota futuristik.

"Ia bakal menjadi ‘hab perniagaan antarabangsa menghubungkan pelabur, perniagaan, bakat dan komuniti dalam persekitaran dinamik yang memacu inovasi dan kreativiti’,” katanya.

Mengulas lanjut, tambah Ahmad Yazid, DPMM tidak akan meminggirkan tanggungjawab sosial pertubuhan yang telah berusia 88 tahun menyediakan kemudahan perniagaan dan tempat tinggal yang mampu dimiliki.

Ujarnya, bahkan DPMM sedang mengkaji instrumen wakaf sebagai salah satu kaedah memastikan tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia terus makmur, maju dan terpelihara.

"Sebagai nexus kepada hubungan baik antara kerajaan dan pihak swasta, DPMM berada pada kedudukan terbaik untuk memastikan agenda Bumiputera khususnya matlamat Putera35 dapat dicapai,” ujarnya.