BANGI - Jenazah lima sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Melaka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas.
Pengurus Tanah Perkuburan, Suhaimi Rashid berkata, jenazah Allahyarham, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32, akan dikebumikan selepas solat Asar.
Turut disemadikan bersama ialah anaknya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, ayah mentua, Ramli Ab Wahab, 66, dan isteri, Fauziah Jaafar, 69.
"Pihak Surau Al-Ikhlas (surau kawasan kediaman Khairul Ikhwan) memaklumkan hal itu kepada saya bahawa lima sekeluarga ini akan dikebumikan bersama-sama di Sungai Tangkas.
"Difahamkan kelima-lima jenazah ini akan disolatkan di Surau Al-Ikhlas sebelum dibawa ke tanah perkuburan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Kesemua mangsa maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 PLUS arah utara di Melaka semalam.
Sementara itu, Khairul Ikhwan meninggalkan dua anak, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang kini dirawat di zon merah dan zon kuning Hospital Melaka.