KOTA BHARU - Jadual Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang padat bukan halangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, Nur Syafawati Damia Safwan, 17, mencipta sejarah di pentas dunia apabila merangkul Tempat Pertama (Laureate 1) bagi kategori Vocal Duet of Excellent Group di International Folklore and Music Competition Prague 2024.
Nur Syafawati Damia bersama pasangan duetnya, pelajar SMK Raja Sakti, Nik Muhamad Firdaus Putra Nik Aziz, 17, meraih kejayaan melalui lagu Bergending Dang Gong yang dipopularkan oleh biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk SM Salim.
Vokal mantap pasangan duet itu memukau juri dan penonton selain penghayatan mendalam mereka sempena pertandingan yang berlangsung dari 11 hingga 20 Disember lalu.
Mereka berjaya mengalahkan lebih 40 peserta membabitkan tujuh negara melalui acara berprestij dalam kalendar seni antarabangsa.
Nur Syafawati Damia memberitahu, antara negara yang menyertai pertandingan berkenaan ialah Ukraine, Republic Checnya dan Amerika Syarikat.
"Alhamdulillah, selain meminati bidang nyanyian kejayaan saya banyak didorong keluarga walaupun tidak ada kemudahan khas di rumah.
"Saya banyak berlatih dengan tunjuk ajar guru di sekolah selain menyertai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Anak sulung daripada empat beradik yang berhasrat bergelar pensyarah vokal itu mewarisi bakat menyanyi ibunya, Siti Nor Abidah Zainuddin, 38.
Jelasnya lagi, bapanya, Safwan Mamat, 39, juga tidak pernah menghalang minatnya untuk menyertai pertandingan menyanyi dan menyertai nasyid sejak berada di tadika.
"Saya mungkin akan lebih aktif menyertai pertandingan nyanyian komersial selepas tamat peperiksaan," katanya lagi.
Sementara itu, guru pembimbing, Suhaida Sukri berbangga dengan usaha yang dilakukan kumpulan mereka sebelum Nur Syafawati Damia menaiki pentas itu.
"Kemenangan ini merupakan usaha, dedikasi dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh Nur Syafawati Damia dan rakan duetnya.
"Mereka membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.