Penyedia platform dalam talian perlu lebih proaktif sekat aktiviti tidak bermoral

Iklan
FAHMI

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua penyedia platform dalam talian digesa agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ibu bapa turut dinasihatkan agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak terutama yang di bawah umur bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Iklan
Iklan

"Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, penahanan 13 individu dalam operasi bersepadu Op Pedo membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk secara dalam talian.

Iklan

"Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara serta tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa depan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Iklan

Beliau berkata, kapasiti agensi yang berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi tujuan tersebut.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, beberapa pindaan akta berkaitan komunikasi telah di bawa dan dibentangkan antaranya Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang akan dapat membantu pihak berkuasa untuk mengekang jenayah jelik ini," katanya di platform X pada Selasa.

Terdahulu, kesemua suspek warga tempatan berusia 20 hingga 74 tahun ditahan di enam negeri dan polis menemukan kira-kira 40,000 bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam peranti yang diperiksa.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.