PBB minta nasihat ICJ isu kewajipan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki

Iklan
PBB pada Isnin secara rasmi meminta ICJ memberikan pendapat nasihat mengenai kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan berhubung kehadiran dan aktiviti PBB, organisasi antarabangsa lain dan negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki. Foto fail

LONDON - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin secara rasmi meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan pendapat nasihat mengenai kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan berhubung kehadiran dan aktiviti PBB, organisasi antarabangsa lain dan negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut Agensi Anadolu, keputusan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau berkenaan dan peningkatan tumpuan antarabangsa terhadap keperluan kemanusiaan dan pembangunan rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Keputusan Israel untuk mengharamkan operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di negara itu dan cabaran yang dihadapi oleh agensi PBB lain dalam menyampaikan bantuan ke Gaza sepanjang tahun lepas antara punca mendorong langkah itu diambil.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, adalah badan kehakiman tertinggi PBB.

Iklan

Walaupun pendapat nasihatnya memiliki signifikan politik dan undang-undang yang besar, ia tidak mengikat secara perundangan dan tidak disertakan dengan mekanisme penguatkuasaan.

Menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kuasa pendudukan diwajibkan untuk memberi persetujuan terhadap usaha bantuan untuk mereka yang memerlukan, memudahkan program sedemikian"dengan segala cara yang ada” dan memastikan keperluan asas seperti makanan, penjagaan perubatan, kebersihan serta piawaian kesihatan awam dipenuhi.

Iklan

Walaupun undang-undang baharu Israel tidak secara jelas mengharamkan operasi UNRWA di Tebing Barat dan Gaza, ia dijangka akan menyukarkan agensi itu untuk berfungsi dengan berkesan.

Pegawai kanan PBB dan Majlis Keselamatan menyifatkan UNRWA sebagai tonggak usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Israel terus melancarkan perang genosid di Gaza yang meragut lebih 45,300 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di ICJ atas tindakannya di Gaza. - Bernama-AA