JAKARTA - Pendakwah Indonesia, Gus Miftah sekali lagi menuai kontroversi setelah rakaman video beliau mengagihkan wang menjadi tular.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sambutan ulang tahun kelahiran isterinya, Ning Astuti, baru-baru ini.
Kebanyakan warganet kurang senang dengan tindakan para santri yang hadir majlis tersebut kerana terpaksa menunduk dan berjalan seperti itik ketika mahu mendapatkan wang pemberian Gus Miftah.
Malah ada yang mempertikaikan adab beliau sebagai seorang tokoh agama hingga perlu 'dihormat' sebegitu rupa.
"Susahnya dapet wang 100,000 ribu rupiah (RM27), mirip zaman perbudakan (perhambaan) kerana perlu berjalan membongkok seperti kera," luah seorang warganet.
Satu lagi komentar juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Gus Miftah.
"Kenapa harus jalan seperti itik gitu sih," katanya.
Klip yang dikongsikan di TikTok itu juga menunjukkan bekas Utusan Khas Presiden Prabowo Subianto itu memberikan ceramah pada acara itu.
Sebelum ini, Gus Miftah dikecam banyak pihak setelah beliau menghina penjual teh ais, Sunhaji, namun telah memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya. - Agensi