Nahas 5 kenderaan: Jenazah pemandu bas persiaran selamat dikebumikan

Iklan
Mohamad Noorzuhairi menyiram air ke tanah perkuburan arwah bapanya setelah urusan pengebumian selesai. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Jenazah Noorisnien Khamid, 56, pemandu bas persiaran yang maut dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, di sini petang tadi.

Terdahulu, jenazah bapa kepada empat anak itu tiba ke Masjid Jamek Al-Falah, Kampung Maju Jaya dengan menaiki van jenazah Hospital Melaka setelah dituntut waris di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

Iklan
Iklan

Jenazah kemudiannya dikebumikan sekitar jam 5.30 petang setelah solat jenazah disempurnakan di Masjid Jamek Al-Falah, yang diimamkan imam masjid berkenaan, Mohd Hairul Osman

Dianggarkan seramai 100 hadirin melibatkan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Noorisnien dengan bacaan talkin yang turut disempurnakan Mohd Hairul.

Iklan

Allahyarham yang juga anak ketujuh dari lapan beradik menetap di Kampung Tawakal, Kempas di sini.

Anak sulung Allahyarham Noorisnien, Mohamad Noorzuhairi, 33, ketika ditemui berkata, dia menerima panggilan telefon daripada kawannya yang memaklumkan tentang kemalangan yang meragut nyawa bapanya itu pada jam 9.50 malam tadi.

Iklan

Katanya yang reda atas pemergian bapanya itu, kali terakhir dia berhubung dengan bapanya pada Rabu lalu menerusi aplikasi Whatsapp manakala kali terakhir mereka bertemu pada Oktober lalu ketika kenduri sepupunya.

"Kami tinggal berjauhan, tetapi kami rapat dan kerap berhubung. Abah orangnya pendiam, kadang-kala kelakar juga tetapi abah ada tegasnya juga.

"Saya terkilan juga, ada pesanan dan permintaan abah yang saya tak sempat tunaikan sebab tidak sangka kejadian ini berlaku dan apa yang dia pesan agar tukar nama pewaris hartanya rupanya adalah permintaan terakhir abah," katanya.

Untuk rekod, kemalangan sekitar jam 8.40 malam itu yang membabitkan bas persiaran dipandu Allahyarham Noorisnien, lori foton, lori treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Selain Noorisnien, enam lagi individu terkorban termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Sementara itu, anak kedua Noorisnien, Siti Norizyan, 30, berkata, dia terkejut ketika menerima pelbagai maklumat mengenai kematian bapanya dan terpaksa mencari kesahihan maklumat berkenaan terlebih dahulu.

"Saya terpaksa telefon tiga hospital di sekitar Melaka untuk mendapatkan maklumat mengenai abah, tetapi tiada nama abah di mana-mana bahagian kecemasan.

"Kerana itu, saya yakin abah berada di Jabatan Forensik dan sudah meninggal dunia.

"Kami empat beradik dan seorang cucu kemudiannya ke ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka dan menemani jenazah abah dari sana hingga ke sini," katanya.