SHAH ALAM - Beberapa portal tempatan mengkritik tindakan Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya yang mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai penangguhan pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sehingga menimbulkan kekeliruan yang tidak diingini.
Memetik laporan media tersebut, selaku pegawai kanan dalam Kabinet Prabowo, Teddy sepatutnya lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat yang melibatkan hubungan kedua-dua negara serumpun itu.
"Tindakan ini jika tidak ditangani dengan baik berpotensi merosakkan imej kedua-dua pemimpin dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keseriusan Indonesia dalam membina kerjasama diplomatik.
"Alasan terkini Teddy bahawa Prabowo berada dalam keadaan sihat menimbulkan imej buruk kepada kerajaan Malaysia yang memetik sumber daripada kedutaan Indonesia berhubung pembatalan pertemuan itu," lapor portal tempatan berkenaan.
Tambah laporan tersebut lagi, berdasarkan sumber daripada rakan-rakan media yang berpusat di Jakarta, Teddy seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat terutama bila melibatkan hubungan diplomasi antara dua negara sahabat seperti Malaysia.
Tegas sumber media Indonesia itu, Teddy seharusnya memohon maaf kepada kerajaan Malaysia kerana menyebabkan seolah-olah Anwar menimbulkan kekeliruan berhubung berita penangguhan pertemuan itu.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo sepatutnya bertemu di Langkawi, Kedah pada Isnin bagi membincangkan isu-isu serantau dan perkembangan ASEAN, tetapi perjumpaan itu ditangguhkan difahamkan kerana Prabowo demam.
Anwar dalam posting di Facebook beliau pada Isnin mendoakan kesembuhan Presiden Indonesia itu dan pertemuan antara mereka dapat diteruskan nanti.
Bagaimanapun, Teddy dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, Prabowo dalam keadaan sihat dan menghadiri beberapa mesyuarat selepas pulang dari Sidang Kemuncak D8 di Kaherah.
"Sejurus tiba (dari Kaherah), beliau segera mengadakan mesyuarat tertutup,” kata Teddy seperti dilaporkan Kompas.com dan Detik.com.