NARATHIWAT - Tiga anggota renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata serta serangan bom buatan sendiri di Daerah Si Sakhon, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Si Sakhon, Kol Pol Pakkawat Wansanuk berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan melibatkan kira-kira 10 suspek kumpulan bersenjata dengan anggota renjer pada 9.30 pagi waktu tempatan.
"Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati tiga anggota renjer cedera dan beberapa kelongsong peluru M16 ditemukan di tempat kejadian," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Pakkawat menjelaskan bahawa siasatan polis menemukan lubang sedalam kira-kira dua meter yang dipercayai digunakan oleh kumpulan bersenjata itu untuk menanam bom buatan sendiri seberat 25 kilogram.
Katanya, polis percaya bom itu dipasang dalam tong gas dan diaktifkan menggunakan alat kawalan.
Menurutnya, semasa kejadian enam anggota renjer sedang menjalankan siasatan susulan aduan mengenai letupan bom di kawasan berkenaan.
"Tiga anggota renjer yang cedera kini dirawat di Hospital Narathiwat Rachanakharin dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya.
Pakkawat berkata pihak polis kini giat memburu individu atau kumpulan yang terlibat dalam serangan itu. - Bernama