PUTRAJAYA - Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa media memainkan peranan penting dalam memperkukuh kepimpinan dan nilai Malaysia ketika negara menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.
Dalam ucapan selamat musim perayaan dan tahun baharu, Menteri Luar memuji sokongan media yang tidak berbelah bahagi sepanjang 2024, mengiktiraf peranan penting mereka dalam mengetengahkan pencapaian Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara di pentas global.
"Ketika kita semakin hampir ke penghujung tahun yang luar biasa ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut musim perayaan dan ucapan selamat untuk tahun baharu kepada semua.
"Dedikasi anda yang tidak kenal lelah dalam menyampaikan kisah Malaysia ke seluruh dunia adalah tidak ternilai, dan saya amat menghargai kerjasama dan sokongan yang telah anda berikan kepada Kementerian Luar sepanjang 2024.
"Ketika kita menantikan 2025, tahun yang penuh dengan aspirasi dan peluang, terutamanya apabila Malaysia mengambil alih Pengerusi ASEAN, saya yakin kerjasama berterusan anda akan memainkan peranan penting dalam menguatkan suara dan nilai negara kita di pentas dunia," katanya.
Mohamad juga menyampaikan ucapan peribadinya sempena musim perayaan dengan berkata:"Semoga musim perayaan ini membawa kegembiraan, kedamaian dan kehangatan kepada anda dan orang tersayang, dan semoga tahun baharu membawa kemakmuran, kesihatan dan kejayaan untuk semua.
"Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia. Saya teruja untuk melibatkan diri dengan anda pada tahun hadapan," katanya. - Bernama