Harga kelapa naik: FAMA tingkat import dari Indonesia

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan harga kelapa di Pulau Pinang naik mendadak.

KUALA LUMPUR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia sekali gus memastikan bekalan mencukupi bagi kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerusi anak syarikat FAMACO, telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember berbanding 180 metrik tan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Langkah itu, katanya, susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat faktor cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas sehingga menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.

"Namun proses keseimbangan pasaran di antara bekalan dan permintaan ini akan mengambil masa berikutan permintaan yang tinggi ekoran musim perayaan. Situasi ini dijangka semakin pulih dan memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari 2025," menurut kenyataan itu.

Iklan

Beliau berkata, harga purata kelapa tua kini berada dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.93 sebiji di Semenanjung dan situasi itu dijangka semakin pulih serta memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari.

Menurut FAMA, agensi itu juga sedang memperhebat kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pengimport, pemborong dan peruncit bagi memastikan rantaian bekalan kelapa terus lancar termasuk memudahkan proses logistik import kelapa tua dari Indonesia.

Iklan

"Pemantauan berterusan dilakukan di seluruh negara bagi mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan bekalan selain kerjasama dengan MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan di pintu sempadan negara," menurut kenyataan itu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji, malah ada yang mencecah RM3.30 sebiji untuk kelapa bersaiz besar. - Bernama