Masalah berat badan dan azam tahun baharu

Iklan
Foto hiasan

PEJAM celik pejam celik, tahun 2024 hampir melabuhkan tirainya dengan pelbagai ragam dan kenangan.

Rata-rata dalam kalangan kita sudah membuat percaturan azam untuk tahun hadapan.

Iklan
Iklan

Azam tahun baharu adalah komitmen yang kita tetapkan untuk memperbaiki aspek kehidupan, mencapai impian atau membina tabiat yang lebih baik.

Sememangnya tahun baharu sering menjadi titik permulaan untuk kita membuat perubahan positif dalam hidup, termasuklah penjagaan kesihatan terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes.

Iklan

Dalam dunia yang serba sibuk dan penuh cabaran ini, kesihatan adalah aset utama untuk kita mencapai kehidupan lebih bermakna dan produktif kerana tanpa tubuh yang sihat, usaha dalam kerjaya, keluarga serta hubungan sosial pastinya akan menjadi lebih mencabar.

Justeru, penulis menyokong penuh mereka yang akan memulakan tirai 2025 untuk tampil lebih langsing memandangkan masalah obesiti di Malaysia kini semakin membimbangkan.

Iklan

Menurut laporan, satu daripada dua individu dewasa di negara ini atau kira-kira 11 juta orang mengalami berat badan berlebihan.

Malah, menurut Kementerian Kesihatan, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan dengan peningkatan tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

Lebih menggerunkan, pada Mac lalu, Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara dengan 19.7 peratus rakyatnya mempunyai masalah obesiti mengikut data The World Factbook oleh Central Intelligence Agency dari tahun 2016 hingga 2024 di belakang Brunei (28.2 peratus).

Walaupun kita tahu tiada sebarang makanan pun yang secara automatiknya boleh membuat penambahan atau penurunan berat badan secara mudah dan cepat, namun dengan amalan pemakanan sihat, peningkatan aktiviti fizikal serta kesedaran mengenai bahaya obesiti kita mampu mencegah komplikasi kesihatan yang berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil serius berkenaan pengetahuan penjagaan kesihatan, terutama berkaitan keburukan pengambilan gula secara berlebihan.

Katanya, bilangan penghidap diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menggambarkan kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat di negara ini masih pada tahap rendah.

"Obesiti, berat badan berlebihan itu tinggi, kencing manis tinggi, jadi tolonglah selamatkan negara, selamatkan anak-anak, selamatkan keluarga, ibu bapa kita dengan mengawal sedikit pengambilan gula, bukan hentikan seluruhnya.

"Bagaimana kurangkan obesiti? kurangkan karbohidrat, lebihkan senaman tapi jangan joging pada kempen bulan kesihatan sahaja.

Perlu jaga kesihatan, kita sibuk, tapi alasan itu (sibuk) sangat remeh, kita sibuk tapi kita tidur, makan, jadi kita juga kena bersenam,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menasihatkan golongan peniaga supaya turut memainkan peranan aktif dalam menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula dengan mengambil kira kesihatan pelanggan apabila menyediakan makanan dan minuman.

Saranan Perdana Menteri dalam mengurangkan pengambilan gula sememangnya salah satu langkah berkesan untuk membantu menurunkan berat badan, sekali gus menjadi strategi yang efektif untuk mencapai berat badan ideal dan memperbaiki kesihatan keseluruhan.

Bagaimanapun, bagi anda yang masih belum berjaya merealisasikan azam masing-masing, ini adalah masa sesuai untuk kita menilai, menyusun semula dan mengambil tindakan dengan semangat baharu.

Azam tahun baharu bukan sekadar janji kosong tetapi satu peringatan bahawa kita sentiasa mempunyai peluang untuk berubah dan memperbaiki diri.

Dengan tekad yang kukuh dan usaha berterusan, tahun baharu boleh menjadi permulaan yang hebat.

Selamat menempa kejayaan dalam apa jua azam anda pada edisi 2025.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian