Duit poket Pesaka berbaloi

Iklan
Megat Zulkarnain (berdiri, lima kiri) gembira dengan prestasi luar biasa pesilat negara di Abu Dhabi. Foto FB Megat Zulkarnain

KEJAYAAN kem silat negara yang dibarisi pesilat senior dan remaja pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu merupakan satu pencapaian luar biasa.

Pujian tersebut dilontarkan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin yang turut menyifatkan potensi besar yang dipamerkan pesilat junior pada kejohanan itu.

Iklan
Iklan

Malah beliau mengakui bahawa pada awalnya pasukan remaja tidak tersenarai dalam program bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun beliau memutuskan untuk menghantar 19 pegawai dan atlet dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Pesaka dan ia berbaloi apabila mereka memperagakan prestasi menakjubkan biarpun bertanding di pentas antarabangsa.

Iklan

"Saya bersyukur dan amat gembira melihat prestasi pesilat-pesilat remaja yang tidak gugup bertanding di pentas antarabangsa. Ini memberikan harapan besar untuk mereka menyertai pasukan kebangsaan pada masa depan,” katanya.

Pada kejohanan edisi ke-20 itu, pesilat senior membawa pulang enam emas, sembilan perak dan empat gangsa, manakala pesilat remaja meraih lima emas dan masing-masing empat perak dan gangsa.

Iklan

Megat Zulkarnain turut menekankan mengenai kepentingan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pesilat negara.

Beliau berkata, setiap anggota pasukan perlu memahami bahawa perbelanjaan yang dikeluarkan adalah amanah besar untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Saya tidak boleh menerima kalau ada pesilat yang ingin menjadi penumpang. Tiada penumpang dalam pasukan kerana mereka mesti bertanggungjawab kepada setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

"Saya inginkan mereka supaya benar-benar mempunyai sifat kebertanggungjawaban yang tinggi dan bertarung bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Biarpun terkenal dengan pendekatan tegas, Megat Zulkarnain menegaskan bahawa segala yang dilakukannya adalah untuk memastikan kejayaan buat pasukan.

"Adakala kenyataan saya dilihat seperti mengugut, tetapi apabila mereka berjaya tiada perkara yang lebih menggembirakan saya selain melihat mereka berada di podium dan memenangi pingat emas.

"Kami (Pesaka) tidak mahu apa-apa, saya sebagai presiden tidak inginkan apa pun balasan. Kita mahu mereka berjaya dan berada di atas podium muncul sebagai juara dunia,” katanya.