Walaupun mungkin kerana isu teknikal, pilot darat tetap bertanggungjawab

Iklan
Foto hiasan

MERAK Jalan tersentuh dengan laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai kemalangan maut melibatkan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.

Secara purata, tiga nahas direkodkan dalam sehari. Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini sahaja, polis merekodkan sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan teringat kisah seorang sahabat yang kehilangan bapa dan dua adik-beradiknya apabila kereta yang mereka naiki dirempuh treler dalam kejadian di Perak hampir 20 tahun lalu.

Dalam kejadian itu, sahabat Merak Jalanan bersama ibunya terselamat walaupun satu ketika mereka nyawa-nyawa ikan akibat kecederaan parah.

Iklan

Sebaik stabil, dia menceritakan, kemalangan pada malam hari itu berlaku sekelip mata akibat lori treler berkenaan memasuki laluan bertentangan kerana mengelak motosikal.

Kejadian itu membuatkan dirinya trauma sehinggakan apabila berselisih dengan lori besar di jalan raya, timbul rasa ketakutan yang tinggi, bimbang kejadian lalu berulang kembali menimpa keluarganya.

Iklan

Apa yang Merak Jalanan kongsikan ini bukan untuk menyalahkan semua pemandu lori yang terlibat dalam 825 kemalangan maut itu. Mungkin yang bersalah hanya sebahagian, atau mungkin disebabkan isu teknikal.

Cuma apa yang diharapkan adalah pemandu treler atau nama glamor ketika ini ‘pilot darat’ perlulah menitik beratkan aspek penting dalam pemanduan.

Lori membawa muatan tidak kemas dan berbahaya, tiada bunga tayar serta lampu signal dan brek tidak berfungsi adalah antara punca menyumbang kepada peningkatan kemalangan membabitkan kenderaan berat sejak kebelakangan ini.

Pun begitu, pemandu bukan kenderaan berat juga perlu memainkan peranan sama kerana ada ketikanya mereka ini juga penyebab kenderaan berat terlibat dalam nahas kemalangan yang mengorbankan nyawa orang lain.