Bantuan ketenteraan 'alat popular' AS

Iklan

WASHINGTON - Sejak Rusia melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, komuniti antarabangsa sering mendengar tentang pakej bantuan ketenteraan yang pernah menjadi 'alat khusus' untuk dasar luar Amerika Syarikat (AS).

Perang Moscow-Kiev yang memasuki tahun ketiga menyaksikan rakyat Amerika semakin skeptikal dengan sokongan ketenteraan yang disediakan untuk Ukraine.

Iklan
Iklan

Tetapi, campur tangan dalam bentuk sedemikian kekal menjadi 'alat popular' Presiden AS dan penggubal dasar lain serta memainkan peranan penting untuk strategi utama dan dasar pertahanan negara itu bagi mengekalkan imej kuasa besar.

Rekod keseluruhan bantuan ketenteraan disalurkan Washington termasuk kepada negara bukan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) agak caca marba.

Iklan

Bekalan peralatan ketenteraan AS yang disalurkan kepada negara dilanda konflik.

Sebagai contoh, strategi berskala AS untuk menubuhkan tentera rakan kongsi di Afghanistan dan Iraq menelan belanja berbilion dolar serta menyaksikan kejatuhan pasukan keselamatan tempatan.

Iklan

Campur tangan di Vietnam sebelum ini bagaimanapun memberi hasil lebih baik meskipun bukan pencapaian membanggakan.

Dari segi sejarah, sekutu Washington kadangkala menggunakan senjata mereka untuk menindas saingan politik dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia terutamanya ketika era Perang Dingin.

Terbaharu, bantuan ketenteraan kepada Israel turut mengundang kecaman dunia kerana senjata AS telah digunakan untuk melancarkan perang genosid di Genting Gaza.

Rumah Putih sentiasa mengambil peluang untuk campur tangan dalam mana-mana konflik termasuk krisis China-Taiwan dan untuk memainkan peranan sebagai 'penyelamat utama' meskipun penglibatan AS lebih memburukkan lagi krisis berkenaan.

Selepas beberapa dekad, bantuan ketenteraan kekal menjadi 'kit alat' Amerika untuk memperluaskan pengaruh dan mengukuhkan kedudukan mereka.

179 negara 'dibantu'

Sebahagian sokongan itu dilakukan secara rahsia sehinggalah tahun 2000.

AS telah memberikan bantuan ketenteraan kepada kira-kira 179 negara dan 'memegang' ratusan ribu anggota keselamatan asing pada setiap tahun.

Aktiviti campur tangan itu termasuk pemindahan senjata, latihan dan nasihat serta pertukaran ketenteraan.

Jumlah keseluruhan sokongan itu apabila menggunakan definisi bantuan ketenteraan lebih meluas termasuk jualan senjata, nilai dolar boleh mencecah lebih AS$200 bilion (RM901.6 bilion) setahun.

Berdasarkan data 2023, bahagian yang paling kecil, namun masih ketara daripada angka itu adalah bantuan ketenteraan yang dibiayai pembayar cukai AS dianggarkan berjumlah kira-kira AS$4 bilion (RM18 bilion) dari Jabatan Negara dikenali sebagai pembiayaan tentera asing dan kira-kira AS$3.7 bilion (RM16.7 bilion) lagi dari Jabatan Pertahanan.

Sokongan diberikan AS kepada Ukraine untuk menangkis serangan Rusia sejak lebih dua tahun lalu adalah pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini dan dianggarkan mencecah lebih AS$50 bilion (RM225 bilion).

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (kiri) berulang kali merayu bantuan ketenteraan daripada Biden.

Kira-kira separuh daripadanya disediakan melalui pihak berkuasa pengeluaran Presiden yang memberi kuasa kepada Pentagon untuk mengeluarkan stok simpanannya sendiri bagi menyokong sekutu AS dengan AS$19 bilion (RM85 bilion) lagi dibiayai Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine.

Bantuan ketenteraan AS sering menggunakan istilah yang berbeza bergantung kepada pihak berkuasa undang-undang atau agensi terlibat yang menyelia atau melaksanakannya.

Ia termasuk bantuan keselamatan, bantuan sektor keselamatan, kerjasama keselamatan dan bantuan pasukan keselamatan serta istilah khusus seperti tadbir urus sektor keselamatan dan pembinaan kapasiti institusi pertahanan.

Jabatan Pertahanan biasanya menggunakan istilah kerjasama keselamatan manakala Jabatan Negara pula menggelarnya sebagai bantuan keselamatan.

Menjelang minggu-minggu akhir pentadbiran Presiden Joe Biden, beliau telah mengumumkan bantuan ketenteraan berjumlah AS$571.3 juta (RM2.57 bilion) kepada Taiwan hingga mengundang kemarahan China.

Selain itu, Biden meluluskan urus niaga peralatan ketenteraan dengan Mesir mencecah lebih AS$5 bilion (RM22.5 bilion), jualan senjata berjumlah AS$170 juta (RM766 juta) bersama Maghribi dan transaksi sama bernilai AS$130 juta (RM586 juta) dengan Greece. - Agensi