Prestasi saham domestik positif

Iklan
Peningkatan pulangan dividen ASB memberi kesan dari segi merancakkan ekonomi domestik di negara ini. (Gambar kecil: Azizul)

SHAH ALAM - Pembayaran dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) tahun ini yang tertinggi dalam tempoh lima tahun didorong oleh tiga faktor antaranya prestasi saham domestik yang positif.

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, faktor lain termasuk perkembangan dalam nilai ringgit dan pelaksanaan strategi pelaburan yang berkesan oleh pengurus dana ASB.

Iklan
Iklan

"Kita juga lihat ada peningkatan nilai ringgit berbanding dolar dan transaksi. Jadi sudah pasti akan memberi pulangan baik terutamanya kepada pelaburan asing dan ASB.

"Dari segi strategi pula, ia termasuk keputusan pelaburan berkesan dalam pelbagai sektor dan prestasi cemerlang yang dilaksanakan oleh barisan pengurusan dana ASB,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Selasa mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Menurut kenyataan PNB, jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dan bonus 25 sen seunit.

Iklan

Sementara itu, ujar Azizul, peningkatan pulangan dividen berkenaan juga memberi kesan dari segi merancakkan ekonomi domestik di negara ini.

Menurutnya, ia berikutan dividen lebih tinggi memberikan pendapatan tambahan kepada pemegang unit ASB sekali gus mendorong kepada peningkatan dalam perbelanjaan harian pengguna.

"Apabila pendapatan lebih tinggi bermakna perbelanjaan akan bertambah. Orang menggunakannya untuk membeli barangan harian, pendidikan dan kesihatan.

"Jadi ini menjadikan ekonomi domestik bergerak dan semakin berkembang,” ujarnya.

Ulasnya, trend dividen yang meningkat setiap tahun itu turut mencerminkan prestasi baik ASNB, membina keyakinan pelabur sedia ada dan menambahkan kesedaran masyarakat terhadap manfaat skim pelaburan berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, ia juga memberi tekanan kepada pihak PNB supaya konsisten untuk membayar dividen secara menaik setiap tahun.

"Kalau kita tengok walaupun kadar dividen ini setengah orang menganggap ia (pulangan yang) kecil tetapi adalah menjadi tanggungjawab kepada PNB untuk terus konsisten meningkatkan kadar dividen dari tahun ke tahun.

"Ini bagi menunjukkan bahawa prestasi pada tahun-tahun mendatang ini lebih baik, sihat dan memperlihatkan mereka sebagai institusi yang berjaya serta membina keyakinan kepada pelabur,” menurutnya.