SHAH ALAM - Hukuman sebat yang akan dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah Terengganu bukanlah sebat di khalayak ramai, sebaliknya ia adalah ‘sebat luar penjara’.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, pelaksanaan hukuman sebat tersebut adalah selari dengan nilai Islam sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah an-Nur ayat dua berkenaan hukuman sebatan ke atas penzina ghair muhsan (belum pernah berkahwin).Menurutnya, ia bermaksud hukuman yang dikenakan ke atas individu berkenaan hendaklah disaksikan oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.
"Sebat khalayak ramai maksudnya ialah sebatan yang disaksikan oleh semua orang sama ada oleh orang dewasa lelaki mahupun perempuan atau kanak-kanak sebagaimana yang dilakukan di Acheh, Indonesia.
"Sebaliknya ‘sebat luar penjara’ merupakan sebatan syariah yang dilakukan bukan dijadikan pengajaran dan hanya akan disaksikan oleh sebahagian orang sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Mohd Affendi Awang kerana ditangkap tiga kali berkhalwat dengan seorang wanita.
Dia juga didenda RM4,000 dan jika gagal, akan menghadapi enam bulan penjara. Hukuman yang pada mulanya dijadualkan pada 6 Disember lalu digantung sementara oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dilaporkan pada 15 Disember, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman tersebut dan akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu dengan disaksikan 70 individu terpilih pada 27 Disember ini.
Musa berkata, pelaksanaan hukuman yang ditetapkan itu juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu hanya disaksikan oleh seramai 70 orang selain dilaksanakan dalam dewan tertutup.
"Tertuduh telah membuat pengakuan bersalah dan telah diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.
"Semakan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah juga telah dijalankan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, dan memutuskan mengekalkan hukuman dan kaedah pelaksanaan sebatan tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menggesa hukuman sebat di khalayak ramai terhadap seorang pesalah khalwat di Terengganu dihentikan kerana didakwa berlaku penghinaan awam dan tidak selari dengan nilai Islam.
NGO itu syorkan pendekatan yang lebih mempunyai belas ehsan dan berperikemanusiaan seperti kaunseling.