Belum sedia terima perubahan isu lantik AG kalangan ahli Parlimen

Iklan
Dr Muhammad Fathi Yusof

SHAH ALAM - Politik negara ini dilihat belum bersedia untuk menerima perubahan dalam aspek perundangan melibatkan lantikan Peguam Negara (AG) dari kalangan ahli Parlimen.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, situasi politik masa kini disifatkan kurang sesuai dan kemungkinan lebih berisiko berlakunya salah guna kuasa ke arah kecenderungan politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana kuasa dimiliki AG agak meluas dan boleh diibaratkan sebagai kebal daripada dicabar di mahkamah.

"Belum sampai masanya untuk negara melantik Peguam Negara dari kalangan ahli Parlimen disebabkan situasi politik kini belum sesuai.

Iklan

"Kuasa yang ada pada Peguam Negara agak besar, sekiranya dilantik dari kalangan ahli Parlimen maka risiko berlaku salah guna kuasa akan semakin ketara,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Fathi berkata, pelantikan hendaklah secara teliti merangkumi tiga perkara penting bagi mengimbangi kuasa pendakwaan yang dimiliki oleh AG.

Iklan

"Dari aspek kebebasan, Peguam Negara membuat keputusan tanpa campur tangan dan juga pengaruh politik.

"Dalam hal ini pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan politik amat penting dan proses pelantikan perlu dibuat secara telus tanpa ada sebarang campur tangan politik,” katanya.

Menurutnya, dari sudut keterbukaan kuasa AG untuk dicabar di mahkamah juga perlu diberikan perhatian.

"Kuasa yang ada pada Peguam Negara dari sudut pendakwaan ini tidak boleh dianggap sebagai mutlak sehingga langsung tidak boleh dicabar di mahkamah.

"Oleh itu perlu digugurkan sebarang elemen yang memberikan kekebalan kepada Peguam Negara daripada pendakwaan di mahkamah.

"Maksudnya jika ada mana-mana pihak mempertikaikan keputusan Peguam Negara yang menggugurkan pendakwaan atau tidak mendakwa mana-mana pihak, ruang itu perlu dibuka berdasarkan undang-undang pentadbiran dan hak-hak yang ditentukan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Muhammad Fathi berkata, aspek ketiga ialah dari sudut pertanggungjawaban iaitu dengan meletakkan tanggung jawab kepada AG untuk menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan orang ramai sama ada melalui Parlimen atau saluran lain.

"Peguam Negara tidak boleh bersikap mendiamkan diri atas pertikaian-pertikaian dilakukan oleh masyarakat terhadap keputusan mereka yang tentunya berkait rapat dengan proses keadilan negara,” ujarnya.

Pada Ahad, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan kerajaan melantik Peguam Negara (AG) yang juga Pendakwa Raya dalam kalangan ahli Parlimen seperti dilakukan di England.

Beliau berkata, cadangan tersebut adalah satu-satunya cara untuk memastikan AG bertanggungjawab atas keputusan yang dilakukan Pejabat Pendakwa Raya bagi mengelakkan kejadian terburu-buru dalam pendakwaan kes-kes politik.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Anwar sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas PRU14 dibuat terburu-buru sehingga banyak ‘kecacatan’.