SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak pernah memandang ringan sebarang aduan melibatkan salah laku pegawai penguat kuasa tanpa mengira siapa yang mengemukakannya.
Malah aduan menerusi surat layang atau aduan tanpa identiti pengadu, boleh diterima oleh EAIC selagi aduan tersebut mengandungi butiran lengkap yang memungkinkan siasatan dijalankan.
Pegawai Undang-Undang, Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad berkata, untuk membuat aduan, pengadu hanya perlu menyediakan maklumat yang jelas dan terperinci.
"Ini termasuklah butiran pengadu, pegawai terlibat (jika dikenal pasti), jenis salah laku, pihak terjejas serta saksi dan bukti yang relevan jika ada.
"Setiap laporan akan diambil serius dan tindakan akan diambil untuk memastikan integriti dalam penguatkuasaan undang-undang terus terjaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, EAIC juga menerima aduan daripada mana-mana individu, termasuk pegawai penguat kuasa yang berada di bawah seliaan EAIC atau melalui rujukan daripada agensi seliaan EAIC.
"Aduan tersebut biasanya diterima apabila ada keperluan untuk menjalankan siasatan telus, terutamanya dalam kes di mana konflik kepentingan mungkin timbul jika agensi yang terlibat menjalankan siasatan ke atas dirinya sendiri,” katanya.
Nura Ashikin berkata, bagi mangsa yang ingin melaporkan salah laku tetapi bimbang untuk tampil sebagai pengadu, EAIC memberikan jaminan bahawa ketakutan itu tidak akan menghalang tindakan yang sewajarnya.
"Sekiranya terdapat maklumat yang cukup untuk disiasat, walaupun tanpa pengadu yang dikenal pasti, pegawai siasatan EAIC sendiri akan bertindak sebagai pengadu dan memulakan siasatan.
"Ini memastikan bahawa setiap aduan yang diterima, walaupun tanpa pengadu yang berani tampil, tetap akan diterima dan diambil tindakan tanpa komprom dengan etiap aduan yang diterima oleh EAIC, akan diproses dalam masa 48 jam,” katanya
Tambahnya, pengadu akan menerima notifikasi melalui e-mel termasuk pegawai siasatan yang akan mengendalikan kes.
Mengulas lanjut mengenai jaminan kerahsian identiti pengadu, Nura Ashikin berkata, EAIC amat menghargai dan melindungi kepercayaan yang diberikan oleh orang ramai.
"EAIC terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ditetapkan oleh undang-undang, yang memastikan sebarang maklumat yang diperoleh sepanjang siasatan tidak akan didedahkan.
"Langkah ini bukan sahaja menjamin keadilan dalam setiap kes, tetapi juga melindungi identiti dan keselamatan pengadu serta pihak yang terlibat,”ujarnya,
Tegasnya, dengan mematuhi prinsip kerahsiaan yang ketat, EAIC akan berusaha untuk mengekalkan integriti proses siasatan dan memastikan perlindungan awam sentiasa menjadi keutamaan.
INFO
Cara Membuat Aduan – Pilih Yang Paling Mudah!
Portal SPAPS (Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan): Aduan Secara Dalam Talian Anda boleh memulakan aduan melalui Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) di www.eaic.gov.my. Dengan mendaftar akaun, anda boleh mengemukakan aduan dengan mudah, dan yang menariknya, anda boleh menyemak status aduan anda secara langsung pada bila-bila masa.
Hadir Sendiri ke Kaunter Aduan dan Khidmat Pelanggan EAIC: Ingin bersemuka? Datang sahaja ke kaunter EAIC di Menara Usahawan, Aras G, Blok Menara, No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2, 62652 Putrajaya. Waktu operasi kaunter ini adalah dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang (tutup jam 1 hingga 2 petang) dan dibuka pada hari bekerja.
E-mel Aduan: Anda juga boleh menghantar aduan melalui e-mel ke aduan@eaic.gov.my. Tiada format khusus diperlukan, tetapi jika maklumat yang diberikan tidak lengkap, EAIC akan menghubungi anda untuk maklumat lanjut.
WhatsApp: Aduan Lebih Cepat, Hanya Di Talian 019-3555215 Tidak cukup masa untuk datang ke pejabat? Gunakan saluran WhatsApp EAIC di 019-3555215 untuk mengemukakan aduan. Sekarang, aduan anda hanya di hujung jari!