KULAI – Polis Daerah Kulai pada Selasa mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah kereta dilanggar oleh sebuah lagi kereta yang dipandu secara melawan arus di Bulatan Gemilang di sini, seperti tular di aplikasi Tik Tok.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, laporan berhubung perkara tersebut diterima oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 5.30 petang Sabtu.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati pemandu Honda City, seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun, dari arah Pasar Khet Long ke Bulatan Gemilang hilang kawalan akibat mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang menyebabkan kenderaan itu memasuki ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berumur 42 tahun.
"Bagaimanapun, hasil saringan urin pemandu Honda City didapati negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
"Kedua-dua pemandu kereta terbabit kemudiannya tampil membuat laporan di IPD Kulai dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut," katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Che Awang Che Ahmed 012-7063660 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.