TEHRAN - Majlis Tertinggi Siber Iran bersetuju untuk memansuhkan sekatan terhadap platform popular seperti WhatsApp dan Google Play, menandakan perubahan ketara dalam dasar pengurusan internet negara.
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat pada Selasa yang dihadiri ketua tiga cabang kerajaan, menteri dan ahli majlis.
Sesi itu mengkaji semula dasar-dasar sekatan internet di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat untuk akses digital yang lebih luas, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Setelah meneliti cadangan pihak berkuasa berkaitan, majlis itu meluluskan langkah pelonggaran sekatan namun menekankan kepentingan tadbir urus siber yang terkawal dan memperkukuhkan platform domestik.
Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Iran, Sattar Hashemi mengumumkan keputusan itu menerusi hantaran di platform X:"Hari ini, kami mengambil langkah pertama ke arah memansuhkan sekatan internet dengan perpaduan dan kerjasama.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden, media, dan aktivis atas usaha mereka. Perjalanan ini akan diteruskan.”
Langkah ini demi menunaikan janji kempen Presiden Masoud Pezeshkian, yang sebelum ini berikrar untuk menangani isu akses internet sebagai sebahagian daripada agenda pemodenannya. - Bernama/IRNA