KUALA LUMPUR - Setahun berlalu sejak Israel melancarkan kekejaman menerusi serangan ketenteraan namun pembunuhan dan kemusnahan terus mencengkam Gaza. Di sebalik pelbagai usaha sudah dilaksana oleh masyarakat antarabangsa namun gencatan senjata yang berkekalan masih sukar dicapai.
Tatkala konflik yang membinasakan ini berterusan, sebuah negara kekal utuh untuk menamatkan keganasan yakni Malaysia.
Sejak sekian lama Malaysia lantang memperjuangkan hak Palestin dan serangan tragis Israel pada 7 Oktober 2023 menandakan satu titik perubahan penting dalam respons diplomatik dan kemanusiaan.
Situasi itu menuntut usaha yang bukan sekadar kata-kata - kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas, mendesak agar penderitaan dihentikan melalui pelbagai platform global, menggerakkan sokongan untuk Palestin selain menghulurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang terjejas.
Pada 2024, komitmen Malaysia terhadap Palestin kian teguh. Bermula di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seterusnya di peringkat Liga Arab sehingga ke Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), diketuai dan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menggunakan setiap saluran yang ada untuk menyeru agar pertumpahan darah segera dihentikan.
Pada 17 Januari Perdana Menteri bersama ahli Kabinet menandatangani poskad khas untuk dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi mendesak badan dunia itu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menamatkan kekejaman Israel.
Beberapa hari kemudian iaitu pada 23 Januari, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kembali pendirian Malaysia ketika Debat Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung situasi di Timur Tengah dan menyentuh mengenai keperluan untuk Israel menamatkan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
Pada 23 Februari, semasa perdengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Mohamad mengecam pencabulan berterusan Israel, menyeru kebertanggungjawaban dan menuntut tindakan itu dihentikan segera. Mesej ini bukan sekadar memberikan kesan dalam kalangan diplomatik tetapi turut menyentuh hati mereka yang mengikuti perkembangan konflik berkenaan.
Pada 1 Mei, Anwar berkata, Malaysia akan memanfaatkan hubungan baik dengan semua negara untuk secara kolektif membantu menghentikan penindasan rejim Israel terhadap rakyat di Gaza.
Semasa debat pada 26 September, Malaysia merayu mengehadkan kuasa veto dalam UNSC sambil menegaskan bahawa penggunaan veto tanpa kawalan telah menghambat usaha damai, khususnya berkait isu Palestin.
Di pentas debat di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang berlangsung pada 29 September lepas, Malaysia mendesak pengembalian semula Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid dan mengulangi keperluan untuk memperbaharu usaha global bagi memerangi ketidakadilan.
Pada 4 November, Anwar berkata, Malaysia telah menyediakan draf resolusi Perhimpunan Agung PBB, antara lain mencadangkan penyingkiran Israel sebagai anggota badan dunia itu sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, peraturan dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
Sepanjang 2024, Anwar memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Palestin semasa pertemuan dengan para pemimpin dunia.
Antara pemimpin itu termasuk Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi; Canselor Jerman, Olaf Scholz; bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida; Perdana Menteri Jordan, Bisher Hani Al-Khasawneh; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken.
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Ismail Haniyeh, bekas pemimpin politik Hamas di Qatar pada 14 Mei, menyaksikan beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa dalam menghentikan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel sehingga menyebabkan kematian Haniyeh di Tehran pada 31 Julai dan menegaskan ia pembunuhan paling keji.
Perdana Menteri turut berduka atas pemergian Yahya Sinwar yang menggantikan Haniyeh sebagai Ketua Biro Politik Hamas sambil menyatakan beliau telah dibunuh dengan kejam oleh rejim Zionis pada 16 Oktober.
Namun, bukan hanya diplomasi yang menjadi pendekatan Malaysia malah turut memperlihatkan solidariti tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin melalui bantuan kemanusiaan.
Pada 16 Ogos, Malaysia membawa 41 rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan, memberikan sinar harapan kepada mereka yang terperangkap dalam keganasan itu. Pesakit dan 86 ahli keluarga mereka diterbangkan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia.
Lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dihantar melalui sempadan Rafah, dan sumbangan berjumlah RM45 juta juga dihantar ke Gaza melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Perhimpunan solidariti turut diadakan pelbagai organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerajaan Persekutuan dan negeri di seluruh negara untuk menyatakan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap Palestin.
Perhimpunan terbesar anjuran Kerajaan Madani telah diadakan pada 4 Ogos yang menyaksikan lebih 15,000 rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum berkumpul di Arena Axiata di Bukit Jalil untuk memperjuangkan pembebasan Palestin.
Dikenali sebagai 'Himpunan Pembebasan Palestin', perhimpunan yang dihadiri Perdana Menteri, menteri Kabinet dan wakil asing itu bertujuan menghantar mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengecam pembunuhan Haniyeh dan kekejaman rejim Zionis.
Rakyat Malaysia juga memboikot produk dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel sebagai simbol solidariti sejajar dengan gerakan global Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS).
Tatkala Malaysia tanpa mengenal erti jemu memperkukuh usaha bantuan diplomatik dan kemanusiaan, negara terus memperlihatkan kepada dunia bahawa keadilan serta kebebasan rakyat Palestin kekal menjadi agenda utama dalam dasar luarnya. - Bernama