JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga asing berputih mata apabila pelaburannya berjumlah RM175,000 lesap gara-gara terpedaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud, Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mangsa berusia 54 tahun itu terpedaya untuk membuat pelaburan berkenaan setelah tertarik dengan iklan yang tertera di laman sosial Facebook.
Katanya, mangsa tambah teruja apabila berhubung dengan suspek yang mengakui dirinya sebagai seorang perunding pelaburan saham.
Ujarnya, mangsa kemudiannya diajak menyertai pelaburan berkenaan yang menjanjikan menjanjikan keuntungan lumayan dalam waktu singkat.
"Mangsa yang merupakan pesara dan pernah menjawat jawatan pengurus syarikat swasta akhirnya mendaftar untuk menyertai pelaburan berkenaan serta diminta membuat pembayaran modal.
"Setelah melakukan 10 kali transaksi berjumlah lebih RM175,000 kepada tiga akaun berbeza antara 30 Oktober hingga 10 Disember lalu mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila suspek memintanya untuk melakukan pembayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan,” katanya.
Dalam pada itu, siasatan menerusi laman sesawang SemakMule mendapati, ketiga-tiga akaun bank terbabit mempunyai 35 rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda antara RM10,000 dan RM100,000 atau kedua-duanya.
Orang ramai diingatkan agar berwaspada dan mengambil langkah melakukan semakan mengenai kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) selain tidak memberikan sebarang maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.