SHAH ALAM - Terdapat tiga faktor utama yang boleh menyebabkan tayar kenderaan berat dan lori mudah tercabut iaitu beban berlebihan, tekanan udara yang tidak betul serta kegagalan mekanikal.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, tayar terpaksa menanggung beban lebih berat daripada yang sepatutnya jika lori membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Disebabkan itu katanya, kehausan akan berlaku dengan lebih cepat atau potensi kegagalan tayar.
"Tekanan udara terlalu rendah atau tinggi juga boleh menyebabkan tekanan yang tidak seimbang pada tayar, mengakibatkan kehausan cepat atau kerosakan struktur tayar.
"Selain itu, saya melihat kegagalan mekanikal, termasuk kerosakan pada rim, kebocoran atau kerosakan struktur tayar itu sendiri yang mungkin disebabkan oleh kecuaian atau kelemahan bahan tayar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka, pada Isnin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan awal pihak berkuasa mendapati, kemalangan itu berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.
Tambah Teik Hua, penguatkuasaan had muatan lori yang ketat adalah sangat penting untuk keselamatan.
Menurutnya, apabila lori membawa beban yang berlebihan, ia akan meningkatkan tekanan pada tayar dan gandar, sekali gus boleh menyebabkan kerosakan lebih cepat serta meningkatkan risiko kemalangan.
"Beban berlebihan juga meningkatkan penggunaan bahan api dan boleh merosakkan struktur jalan raya.
"Justeru, penguatkuasaan yang lebih ketat dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan komponen-komponen ini,” jelasnya.
Beliau turut melihat keperluan untuk mewajibkan sistem amaran tekanan tayar (TPMS) untuk lori dan kenderaan berat.
Katanya, TPMS dapat memberikan amaran awal kepada pemandu mengenai tekanan tayar rendah atau tidak normal, yang boleh mengelakkan kerosakan tayar atau kegagalan yang lebih serius.
"Sistem ini dapat meningkatkan keselamatan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh masalah tayar.
"Selain itu, ia juga membantu dalam penjagaan tayar yang lebih baik, mengurangkan pembaziran bahan api dan memanjangkan jangka hayat tayar,” jelasnya.
Ditanya siapa yang perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku insiden tayar tercabut, beliau menyatakan bahawa beberapa pihak perlu bertanggungjawab antaranya pihak operator, pemandu lori dan majikan.