PENAMPANG- Kumpulan mahasiswa dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam perhimpunan yang akan diadakan di hadapan Menara Kinabalu pada Selasa depan.
Perhimpunan aman itu dianjurkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, penyertaan mahasiswa tersebut dibimbangi akan dimanipulasi oleh pihak tertentu.
"Kita semua mahu membanteras rasuah namun saya harap jangan mereka disalah guna untuk buat sesuatu sebelum sesuatu itu dibuktikan betul.
"Kalau dengar saja propaganda, nampak saja video, sebab sekarang pun video boleh dimanipulasikan dan baru-baru ini saya lihat ada beberapa penularan mesej di aplikasi WhatsApp yang tidak betul.
"Jadi saya nasihatkan jangan terlibat," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini pada Rabu.
Jeffrey yang juga Presiden STAR tidak menolak bahawa perkara tersebut mungkin sebagai propaganda untuk merosakkan hubungan antara pemimpin di negeri ini.
"Memang ia bertujuan untuk merosakkan hubungan antara pemimpin supaya mereka tidak percaya antara satu sama lain," katanya.
Sementara itu, diminta mengulas masih ada pihak yang mempertikaikan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) ke-11, beliau mengambil pendirian satu hari nanti rakyat akan mula menerima pelantikan tersebut.
"Biasalah, bukan semua orang bersetuju (pelantikan) dan ini juga satu keunikan kita. Lambat laun kita akan menerimanya," katanya.