SHAH ALAM - Sebuah perkongsian video lama pada Oktober lalu kembali tular, melibatkan sebuah lori yang salah satu tayarnya hampir tercabut, ditahan individu di sebuah lebuh raya.
Ia susulan tragedi yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa, dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, dalam kemalangan di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka, pada Isnin masih lagi terasa.
Dalam video yang dimuat naik oleh Rulamrul Advansado di Facebook, seorang lelaki memberitahu terpaksa menahan lori berkenaan apabila melihat tayar lori tersebut hampir tercabut.
"Aku tahan sebab tengok tayar dah gelong (bergerak tidak lurus). (Bila tengok balik) Tayar ada satu sahaja skru.
"Dia (lori) nak potong, aku dah tahan, sekat habis. Kalau tayar tercabut, macam mana nak tahan? Ini tinggal satu skru, banyak nyawa boleh selamat (bila lori ditahan),” katanya.
Video itu kini mendapat 1.7 juta tontonan, lebih 39,000 tanda suka dan 5,000 komen.
Seorang pengguna Facebook, Shaharuddin Ismail memuji tindakan lelaki berkenaan kerana boleh menghindari perkara yang tidak diingini.
"Tahniah Bro. Insya-ALLAH, ganjaran yang besar untukmu,” katanya.
Wan Azhar turut berterima kasih dengan tindakan itu dan memuji usahanya dalam menyelamatkan nyawa orang lain.