PASIR MAS - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Reform dan sebuah kedai perabot terpakai di Kota Bharu mengambil inisiatif mengagihkan 40 tan perabot terpakai kepada lebih 200 penduduk yang terjejas banjir di daerah ini.
Koordinator Reform, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, perabot dari Singapura bernilai lebih RM40,000 disumbangkan oleh Mat Perabot Murah Singapura (Kadok) diharap dapat menceriakan mangsa banjir di lebih lima buah kampung.
Beliau memberitahu, antara kampung terbabit ialah Kampung Tanjong, Kampung Bakong, Kampung Merbau dan Kampung Jeram Perdah.
"Kita mengagihkan kelengkapan rumah kelengkapan rumah seperti katil, tilam, sofa, kerusi dan meja. Kesemua keperluan itu habis dalam tempoh kurang dua jam," katanya ketika ditemui di Kampung Pohon Tanjung pada Rabu.
Menurut Mohd Hisyamuddin, usaha kali pertama itu dilakukan susulan banjir yang menenggelamkan rumah dan harta benda penduduk.
"Selepas Pasir Mas, kita akan teruskan agihan perabot percuma ini di beberapa lokasi lain yang terjejas banjir," katanya.
Beliau turut mengajak peniaga perabot terpakai menyumbang keperluan itu kerana bakul makanan sahaja tidak mencukupi berikutan kemusnahan yang dihadapi penduduk sangat serius.
Sementara itu, mangsa banjir dari Kampung Merbau, Mohd Harman Riduan, 43, berkata, sumbangan itu dapat menggembirakan keluarganya walaupun hanya perabot terpakai.
Jelasnya lagi, sejak musibah 2014, dia mengambil keputusan tidak membeli perabot kerana setiap tahun rumah mereka akan dinaiki air dan banjir paling buruk baru-baru ini hanya menampakkan sebahagian bumbung kediamannya.
Suri rumah, Nur Ain Suhada Rosli, 29, datang seawal jam 8 pagi untuk mengambil perabot percuma selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan sekampung beberapa hari sebelum itu.
Nur Ain Suhada bersyukur menerima almari kecil yang dapat menyimpan barangan peribadi keluarganya.
Ibu kepada seorang anak berusia empat tahun itu memberitahu, kesemua perabot miliknya tidak boleh digunakan apabila air naik setinggi 0.6 meter di dalam rumah.
Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, Rohani Yahya, 60, kecewa kerana tidak sempat mengambil perabot yang diagihkan berikutan mendapat tahu mengenai perkara itu di saat akhir.
Rohani mengakui tidak kisah walaupun hanya perabot terpakai berikutan semua kelengkapan dalam rumah rosak selepas beberapa hari ditenggelami air.
"Kami terus bergegas ke lokasi ini sebaik sahaja dimaklumkan oleh penjaja kuih yang datang ke rumah kira-kira jam 11 pagi," katanya.