Tol percuma tidak produktif, DPMM saran insentif kepada pengangkutan awam

Iklan
Tol percuma semasa perayaan cenderung menggalakkan peningkatan jumlah pengguna kenderaan persendirian di lebuh raya. (Gambar kecil: Mohd Zayad)

ALOR SETAR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pengendali pengangkutan awam berbanding pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, langkah tersebut dilihat lebih strategik selain mampu menangani masalah kesesakan kenderaan serta mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, insentif kepada pengendali pengangkutan awam seperti bas ekspres, kereta api dan kapal terbang juga boleh menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

"Insentif seperti subsidi tambang dan tambahan jadual perjalanan akan menyebabkan lebih ramai pengguna mungkin memilih untuk tidak menggunakan kenderaan persendirian.

Iklan

"Pemberian insentif bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengangkutan awam, malah membantu rakyat bergerak lebih lancar dan efektif selain menyokong kelestarian sistem pengangkutan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pengguna lebuh raya di seluruh negara menikmati tol percuma pada 23 dan 24 Disember sempena perayaan Hari Krismas.

Iklan

Tol percuma dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam Isnin (23 Disember) hingga 11.59 malam, 24 Disember (Selasa).

Pengecualian tol hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Mohd Zayad berkata, pemberian tol percuma sempena musim perayaan dianggap sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, namun langkah tersebut tidak produktif dari aspek pengurusan sumber, kesan kepada kesesakan lalu lintas selain implikasi jangka panjang.

"Tol percuma semasa perayaan cenderung menggalakkan peningkatan jumlah pengguna kenderaan persendirian di lebuh raya.

"Penggunaan lebuh raya meningkat berkali ganda, terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan kesesakan teruk. Kesannya, tempoh perjalanan menjadi lebih panjang, dan menjejaskan produktiviti rakyat,” katanya.

Malah beliau berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan yang besar kepada syarikat konsesi tol akibat langkah tersebut.

"Kos pampasan sempena Krismas tahun ini dianggarkan mencecah RM38 juta. Jumlah ini terlalu besar untuk manfaat bersifat sementara yang hanya dinikmati pengguna lebuh raya, sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk inisiatif lain seperti meningkatkan kapasiti dan kualiti pengangkutan awam atau menyediakan subsidi kepada pengguna,” jelasnya.

Mohd Zayad berkata, langkah berkenaan juga didakwa tidak bersifat inklusif kerana hanya menguntungkan pengguna lebuh raya, sementara golongan yang tidak menggunakan jalan tol, termasuk penduduk luar bandar dan pengguna pengangkutan awam, tidak menikmati faedah tersebut.

"Pemberian tol percuma juga dilihat gagal menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Kesesakan lalu lintas mengakibatkan rakyat kehilangan banyak masa dan tenaga, terutama mereka yang terperangkap di jalan raya selama berjam-jam.

"Risiko kemalangan juga tinggi dengan pertambahan bilangan kenderaan mendadak di lebuh raya, ia boleh dielak jika lebih ramai mengambil pengangkutan awam.

"Jumlah kemalangan turut berisiko meningkat kerana mungkin ramai pemandu tidak berpengalaman di lebuh raya mengambil kesempatan tawaran tol percuma untuk menggunakan lebuh raya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, cadangan lain termasuk menggunakan dana RM38 juta itu untuk melabur dalam pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra pengguna.

"Pelaburan sebegini dapat memberikan manfaat lebih berkesan dan berpanjangan berbanding tol percuma, di samping mengurangkan pelepasan karbon serta penggunaan bahan api.

"Secara keseluruhannya, pemberian tol percuma semasa musim perayaan dilihat sebagai langkah sementara yang membawa lebih banyak masalah berbanding penyelesaian,” katanya.

Mohd Zayad yakin pelaburan strategik dalam pengangkutan awam, pembangunan infrastruktur trafik dan penggunaan teknologi pintar antara langkah lebih mampan untuk memberi impak jangka panjang kepada sistem pengangkutan negara.