UiTM cipta sejarah IPT pertama terima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.

Iklan
Shahrin (empat dari kanan) bersama Penolong Naib Canselor Pejabat Komunikasi Strategik Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais (tiga dari kiri) dan staf Unit Media kreatif bergambar selepas menerima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia menerima Anugerah Pencipta Perak daripada YouTube.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pengiktirafan itu diterima selepas saluran rasmi universiti, UiTM Channel, berjaya melepasi 100,000 langganan pada pertengahan September 2024.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, UiTM Channel mula beroperasi pada 1 April 2013 lalu kini mempunyai lebih 21 juta tontonan dan lebih 1,900 penerbitan video.

"Saluran ini bukan hanya menyampaikan maklumat berbentuk video kepada komuniti universiti dan masyarakat awam, tetapi turut menjadi platform penstriman langsung yang mendapat tontonan tinggi, termasuk semasa Istiadat Konvokesyen UiTM," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Saluran UiTM Channel diuruskan pasukan daripada Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM sekali gus membuktikan usaha strategik universiti dalam memanfaatkan media digital.

Selain meningkatkan keterlihatan universiti, UiTM Channel mula menjana pendapatan sejak awal tahun 2020.

Iklan

Pendapatan itu membuka peluang kepada universiti untuk terus memperluaskan kandungan kreatif dan inovatif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

Shahrin memberitahu, UiTM berbangga dengan pencapaian itu yang mencerminkan visi universiti untuk terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital.

"Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM Channel dijangka akan terus berkembang sebagai platform utama untuk menyampaikan kandungan kreatif dan berimpak tinggi.

"Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga lambang komitmen UiTM dalam memperkasa komuniti universiti dan masyarakat melalui inovasi teknologi serta media digital," ujar beliau.

Dalam pada itu, kata beliau, UiTM juga mencatat pencapaian serupa melalui platform media sosial TikTok, yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut.

Tambah beliau, kedua-dua saluran YouTube dan TikTok rasmi UiTM telah menerima verifikasi rasmi daripada platform masing-masing, mengukuhkan kredibiliti jenama universiti di dunia digital.

"Selain itu, UiTM Channel menjadi IPT pertama yang memperkenalkan platform e-dagang melalui TikTok.

"Inisiatif ini mempromosikan dan menjual produk universiti kepada umum termasuk produk ikonik seperti Beg Kuning UiTM, sekali gus menampilkan inovasi universiti dalam meneroka peluang ekonomi digital," jelas beliau lagi.