Nahas 7 maut: Dua beradik belum tahu ibu bapa sudah meninggal

Iklan
Hee Sem (kiri) meluangkan masa melawat Sofea Humaira yang telah menjalani pembedahan pada pagi Rabu.

MELAKA - Dua kanak-kanak yatim piatu yang masih menerima rawatan di Hospital Melaka belum dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa mereka dalam kemalangan meragut tujuh nyawa itu.

Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, masih di unit rawatan rapi (ICU) manakala adiknya Nur Sofea Humaira, 4, telah ditempatkan di wad biasa hospital sama.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, saat ini adalah lebih penting untuk menjaga emosi kanak-kanak itu lebih-lebih lagi mereka dalam keadaan kesakitan.

Menurutnya, Nur Sofea baru sahaja selesai menjalani pembedahan susulan paha retak pada pagi Rabu, manakala Muhammad Uwais Al-Qarni yang berada di ICU masih menunggu masa untuk menjalani pembedahan.

Iklan

"Mereka belum tahu lagi (pemergian ibu bapa) walaupun mereka sedar kerana kita tak mahu menganggu emosi mereka.

"Kita tak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera di Hospital Melaka di sini, pada Rabu.

Iklan

Hee Sem (tengah) ketika melawat anak yatim piatu itu di Hospital Melaka, di sini, pada Rabu.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, kesemua penumpang bas warga Singapura yang cedera telah dibenarkan pulang.

Ujarnya, selain dua beradik terbabit, seorang lagi pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai dan tercedera dalam kemalangan itu masih dirawat di Hospital Melaka.

"Pemandu berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU setelah mengakami cedera parah terutamanya di bahagian kaki," ujarnya lagi.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, pada Isnin.

Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri Fauziah Jaafar, 69.

Turut maut pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang merupakan warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV Toyota Estima sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.

Katanya, bagaimanapun bas pelancongan yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar penghadang jalan dan bertembung dengan kereta Perodua Bezza serta Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga itu.

"Akibat kemalangan itu, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Melaka dan Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut," katanya.