SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan agensi pemantauan jalan raya yang ditugaskan untuk menerima aduan orang ramai dan membuat siasatan berkaitan salah laku kenderaan dagangan di jalan raya.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, ia susulan peningkatan kemalangan maut yang melibat pengangkutan 'gergasi' akibat kegagalan teknikal.
Menurutnya, kesalahan trafik yang dilakukan oleh kenderaan perdagangan seakan-akan sering terlepas dari tindakan undang-undang apabila melibatkan kemalangan dengan kenderaan persendirian.
"Seolah-olah wujud 'perhubungan gelap' antara kartel kenderaan perdagangan dengan pihak polis yang menyebabkan kes salah laku mereka ditutup begitu saja atau tiada tindakan selepas siasatan.
"Di pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula kebanyakan aduan daripada orang ramai hilang begitu saja. Seolah-olah segala aduan 'ditong sampahkan'. Ini menyebabkan orang awam tidak berminat membuat aduan kerana merasakan ia sia-sia.
"Begitu juga dipihak PUSPAKOM yang sepatutnya memeriksa kenderaan perdagangan dengan profesional tetapi anehnya begitu banyak kenderaan yang tidak layak masih berada di jalan raya.
"Urusan di PUSPAKOM kadang kala menjadi terlalu lama tetapi sekiranya ingin jalan pintas maka ada 'caranya'," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV, sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.
Ujarnya, setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
Katanya, bagaimanapun bas pelancongan yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Mengulas lanjut, Helmi memaklumkan, meskipun tragedi itu merupakan suatu kemalangan yang diungkapkan dengan malang tidak berbau, tetapi apabila kenderaan perdagangan seperti lori dan bas bukanlah sesuatu yang asing.
"Kenderaan perdagangan di negara ini seolah-olah 'imun' daripada pemantauan pihak berkuasa. Acapkali kita didendangkan dengan pemandu yang memandu dengan cuai, merbahaya dan memiliki kenderaan yang tidak layak berada di jalanraya.
"Semata-mata kerana kenderaan mereka lebih besar, maka mereka mengganggap diri mereka harus diberikan laluan meskipun bukan laluan mereka," ujarnya.
Malah katanya, ada kes dimana ketika pemandu menggunakan tayar baharu ketika menghantar lori untuk pemeriksaan tetapi menukarnya kepada yang lama setelah selesai.
Helmi mendakwa, ada segelintir pemandu bertindaka demikian dengan menyewa tayar dari kedai semata-mata untuk tujuan pemeriksaan PUSPAKOM.
"Maka banyaklah insiden dimana tayar celup meletup dijalan raya sebab dikitar guna, tetapi apa yang membimbangkan kini adalah mekanisme untuk orang awam membuat aduan terhadap kesalahan lalu lintas kenderaan perdagangan seolah-olah sistemnya dibalas dengan pekak dan tuli pihak penguasa.
"Justeru, cadangan MEH untuk penubuhan agensi berkenaan adalah untuk memastikan pihak JPJ, PUSPAKOM dan polis trafik memberikan maklumat teknikal serta hasil siasatan jika diminta dan tidak ada ruang untuk culas.
"Begitu juga jika ada kenderaan perdagangan dipandu dengan merbahaya atau kenderaan persendirian dipandu dengan mabuk maka orang awam boleh memberikan aduan terus kepada agensi ini untuk tindakan.
"Jika didapati mengapa pihak JPJ, PUSPAKOM dan Polis Trafik tidak menjalankan tugas dengan betul, maka agensi ini boleh panjangkan laporan ke SPRM untuk menyiasat sama ada berlaku rasuah," jelasnya.