SHAH ALAM - Budaya atau sikap mementingkan keselamatan merupakan peranan utama dalam membendung kemalangan membabitkan kecuaian teknikal melibatkan kenderaan berat.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkuasa dan majikan perlu memantau dan memeriksa kenderaan berat dengan lebih kerap sebelum membiarkan ia dipandu di atas lebuh raya yang mempunyai ramai nyawa tidak berdosa.
"Pada masa sama aspek pemanduan juga harus diambil kira. Kecuaian pemandu dalam memeriksa kenderaan yang dipandu sebelum bergerak adalah ancaman kepada pemandu kecil lain.
"Majikan juga perlu lebih berhati-hati dalam melihat profil pemandu termasuk sikap peribadinya seperti tenang atau pun panas baran akan menjejaskan aspek pemanduan seseorang.
"Aspek penyelenggaraan kenderaan berat yang melibatkan pelbagai pihak sememangnya tidak boleh dibiarkan sambil lewa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Lam Thye memaklumkan, aspek kedua yang dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut ialah sikap cuai dalam membudayakan keselamatan.
"Kelewatan pihak lebuh raya mengesan objek asing di lebuh raya ini menunjukkan bahawa sistem keselamatan lebuh raya kita masih memerlukan lebih banyak penambahbaikan.
"Jika kita dapat mengesan lebih awal tayar yang dimaksudkan pihak lebuh raya perlu mengambil langkah kecemasan yang cepat dan melakukan kerja pembersihan dengan pantas," ujarnya.
Selain itu, katanya, kegagalan setiap pengguna lebuh raya untuk sama-sama menjalankan peranan masing-masing juga adalah salah satu kecuaian masyarakat dalam mengambil berat hal keselamatan.
Menurut Lam Thye, terdapat satu video merakam tayar tersebut sudah berada di atas jalan raya sebelum kemalangan tersebut berlaku.
"Ini menjadi bukti bahawa banyak pemandu yang telah perasan akan tayar tersebut tetapi tidak ada satu pun laporan yang dibuat kepada pihak lebuh raya untuk menyedarkan akan bahaya yang wujud.
"Sama ada pemandu menganggap itu hanya sebuah tayar yang tidak berbahaya ataupun mereka sudah melewati bahaya tersebut maka orang di belakang mereka adalah sudah tidak penting tahap keselamatannya untuk mereka.
"Adakah kita sudah menjadi seperti kiasan peribahasa bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing?," katanya.
Tambah beliau, kecuaian pihak berkuasa dan majikan kenderaan berat akan menyaksikan bahawa insiden melibatkan kenderaan berat berkenaan akan terus berlaku hingga bila-bila.
Ujarnya, selagi tiada pihak yang membudayakan keselamatan dalam kehidupan, selagi itulah rakyat Malaysia hidup dalam bahaya yang boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi.
Sebelum ini media melaporkan, tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV, sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.
Ujarnya, setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
Katanya, bagaimanapun bas pelancongan yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Dalam pada itu, kemalangan sama turut berlaku di laluan Kemaman yang mengakibatkan kemalangan sebuah kenderaan jenis Honda City.