Keputusan gantung KAFA ikut Statut FAM - Peguam

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Zhafri

PEGUAM undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid menyifatkan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan penggantungan terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berdasarkan peraturan yang terkandung dalam statut badan induk tersebut.

Malah menurut Zhafri, kes melibatkan badan induk bola sepak Kelantan telah melanggar obligasi ahli yang ditetapkan dalam Statut FAM khususnya Artikel 16 (1) (ix) iaitu gagal untuk memastikan pemilihan diadakan mengikut prosedur yang menjamin kebebasan sepenuhnya pemilihan tersebut.

Iklan
Iklan

Jelas Zhafri lagi, insiden KAFA tidak seperti kes Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada 2022 yang diputuskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) kerana ketika itu belum wujud lagi Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Tatacara Dalaman bagi Penyelesaian Pertikaian Dalam Badan Sukan) kemudian digunakan selepas itu.

Menurut Zhafri, berdasarkan peraturan itu juga badan induk tersebut mengambil keputusan keahlian KAFA digantung sehingga diadakan pemilihan semula.

Iklan

"Ada juga yang menimbulkan persoalan mengapa sekarang baru buat keputusan walaupun pemilihan KAFA tersebut diadakan pada 20 Julai lalu?

"Difahamkan aduan awal telah dibuat tiga entiti tersebut kepada PPS dan pada September, PPS mengarahkan FAM untuk menyelesaikan aduan tersebut sebelum boleh dipanjangkan ke PPS.

Iklan

"Tempoh masa selama dua bulan untuk FAM selesaikan aduan tersebut adalah satu tempoh yang memadai.

"Malah antara penyelesaian yang paling cepat mengikut pengalaman saya sendiri. Kebiasaan kes FAM akan diselesaikan antara tiga hingga enam bulan,” katanya.

FAM sebelum ini mengesahkan menggantung keahlian KAFA sebagai ahli gabungan badan induk tersebut selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis bersetuju dengan cadangan tindakan yang sudah dibentangkan untuk menggantung keahlian badan induk bola sepak Kelantan berkenaan.

Menurut FAM, keputusan untuk menggantung KAFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.

Mengulas lanjut Zhafri juga menyarankan FAM agar menambah baik proses bagi mempercepatkan aduan-aduan yang diterima kerana sering kali kelewatan keputusan menjadi topik perbualan netizen.

"Namun begitu, ianya bukanlah pengakhiran kepada bola sepak Kelantan kerana penggantungan tersebut hanyalah bersifat sementara dan boleh diselesaikan berdasarkan perlembagaan masing-masing,” katanya.