PENYANDANG juara PDRM FC akan berdepan ujian sebenar apabila berdepan Kedah Darul Aman FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 18 Januari depan.
The Cops kendalian P Maniam dijadualkan menjadi tuan rumah kepada Sang Kenari bimbingan pengendali sementara, Victor Andrag di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Perlawanan separuh akhir kedua pula berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, laman keramat Hijau Kuning, pada 1 Februari.
Sebagai rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super menyaksikan Kenari berjaya membawa pulang tiga mata apabila menewaskan PDRM, 1-0 hasil jaringan 33 saat Muhammad Syafiq Ahmad di Selayang.
Namun The Cops kemudian bangkit membawa pulang satu mata apabila bangkit mengikat Kedah, 1-1 dalam perlawanan pusingan kedua di Alor Setar, Oktober lalu.
The Cops mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan kelab Liga A1 Semi Pro, Melaka FC dengan agregat, 4-3 selepas terikat 2-2 timbal balik pertama sebelum bangkit menang 2-1 perlawanan kedua.
Kedah pula tidak berdepan masalah apabila mara dalam keadaan selesa selepas menang agregat, 6-0 ke atas satu lagi kelab Liga A1 Semi Pro,Kuala Lumpur Rovers, 3-0 di Cheras, diikuti keputusan sama di Alor Setar.
PDRM juara 2023 edisi ketiga selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1 setelah menang 3-0 di Petaling Jaya sebelum mengikat The Cats, 1-1 di Kuching.
Satu lagi perlawanan suku akhir membabitkan pertemuan pasukan pilihan Selangor FC kendalian Katsuhito Kinoshi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, pada 19 Januari.
Timbal balik kedua, The Black Panthers bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail akan berkunjung ke laman keramat The Red Giants, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada 2 Februari.
Selangor mengesahkan kemaraan ke pentas empat terbaik selepas menang agregat 8-1 ke atas kelab pantai timur, Kelantan Darul Naim dengan menang 5-1 aksi pertama diikuti 3-0 dalam aksi suku akhir di Petaling Jaya.
Black Panthers pula mara ke separuh akhir selepas menang bergaya 6-0 ke atas satu lagi pasukan Liga A1 Semi Pro, PT Athletic,dengan 4-0 di Stadium Bandaraya disusuli 2-0 timbal balik kedua di venue sama.
Pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super sebelum ini menyaksikan Selangor menang 4-1 ke atas Penang dalam perlawanan yang berlangsung di Petaling Jaya,Julai lalu.
INFO
PIALA CABARAN
SUKU AKHIR PERTAMA
SABTU (18 JANUARI)
PDRM FC lwn Kedah Darul Aman FC
(Stdm Majlis Bandaraya Selayang, 9 malam)
AHAD (19 JANUARI)
Penang FC lwn Selangor FC
(Stdm Bandaraya, 8.30 malam)
SUKU AKHIR KEDUA
SABTU (1 FEBRUARI)
Kedah Darul Aman FC lwn PDRM FC
(Stdm Darul Aman, 9 malam)
AHAD (2 FEBRUARI)
Selangor FC lwn Penang FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)