JOHOR BAHRU - Program Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2020 Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru yang berlangsung selama dua hari dan berakhir Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Program itu julung kali memperkenalkan MyUPU, portal permohonan bersepadu bagi kemasukan ke IPT dan Institut Latihan Kemahiran (ILK) untuk lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, diploma dan sijil bagi sesi akademik 2020/2021.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, program Jom Masuk IPT adalah program signature Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyebar luas maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan di IPT.
Menurutnya, sebelum ini permohonan memasuki IPT dan ILK perlu dilakukan dengan membuka portal yang berasingan tetapi kini pelajar boleh melayari portal MyUPU untuk memohon kedua-duanya.
"Langkah terbaharu KPM ini lebih berkesan dan dapat mengelak tawaran calon bertindih kerana pada tahun lalu sebanyak 135,000 kekosongan di semua institut pendidikan ditawarkan tetapi sebanyak 10,000 kekosongan tidak diisi," katanya pada sidang akhbar di sini Sabtu lalu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Wahid Omar.
Nie Ching berkata, program Jom Masuk IPT seiring dengan pembukaan permohonan pelajar ke IPT awam yang mula dibuka pada 24 Februari hingga 31 Mac (bagi lepasan SPM) dan 24 Februari hingga 7 April (bagi lepasan STPM/setaraf).
Menurutnya, program tersebut menyasarkan seramai 230,000 pengunjung sepanjang penganjurannya di lapan lokasi di seluruh Malaysia yang bermula di Johor Bahru dan lokasi terakhir di Serdang, Selangor.
Sementara itu, beliau berkata, langkah pencegahan penyebaran koronavirus (Covid-19) turut diambil sepanjang program berkenaan dengan melakukan imbasan suhu setiap pengunjung sebelum masuk ke dalam dewan.
Pada program berkenaan, terdapat 100 reruai yang menyediakan pelbagai maklumat dan informasi untuk rujukan pelajar lepasan SPM dan STPM/ setaraf.
ARTIKEL BERKAITAN: KPM perkenal portal MyUPU elak pertindihan tawaran