Ummah desak Hannah Yeoh letak jawatan, jaga kredibiliti kerajaan

Iklan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap Musa berhubung ucapannya dalam satu forum di UiTM empat tahun lepas. Gambar kecil: Mohd Zai

SHAH ALAM - Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet Malaysia serta-merta susulan tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau wajar mengundurkan diri bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia berikutan keputusan mahkamah pada Isnin menolak samannya dan menunjukkan bahawa tuduhan Hannah tidak berasas mahupun berlandaskan fakta kukuh.

"Kami berharap kes ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati.

Iklan

"Pihak terbabit juga perlu bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil terutama ketika melibatkan isu-isu yang boleh merosakkan reputasi dan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 30 Januari 2020, Hannah dilaporkan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat semasa ucapannya dalam satu forum Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Iklan

Beliau mendakwa Musa antara lain menuduhnya menulis buku 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia serta mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara.

Susulan kes itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Segambut itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan berkenaan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.

Dalam pada itu, Mohd Zai memaklumkan Ummah komited dalam memelihara integriti dan ketelusan dalam kepimpinan negara sekali gus menganggap tindakan saman tersebut sebagai satu langkah yang mencemarkan nama baik ahli Parlimen serta menteri Kabinet kerajaan.

"Keputusan mahkamah yang menyebut bahawa Hannah berniat untuk menyebarkan agama Kristian secara halus kepada mereka yang beragama lain juga menjadikan Hannah dan bukunya perlu disiasat.

"Ia juga boleh diharamkan oleh pihak berkuasa kerana terang-terang melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama selain Islam kepada penganut agama Islam,” katanya.

Mohd Zai menasihati Hannah untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kenyataan yang dilakukan kerana beliau seorang menteri.

"Ummah percaya bahawa keputusan mahkamah ini juga memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa sebarang tuduhan atau dakwaan yang dibuat tanpa bukti kukuh hanya akan mengundang persepsi buruk kepada reputasi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi yang dipimpinnya,” ujarnya.