SEMPORNA - Bot penambang berlanggar mencetuskan pergaduhan dua pihak di kawasan Jeti Kahanga di sini, sebelum video mengenai kejadian itu tular di media sosial pada Rabu.
Terkesan dengan video tersebut, polis bertindak memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan di Balai Polis Semporna.
Pemangku Ketua Polis Daerah Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, video itu dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di kawasan jeti.
"Siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Disember lalu sekitar jam 9 pagi. Bagaimanapun, pihak polis tidak menerima sebarang laporan dari mana-mana pihak terlibat.
"Setelah siasatan dijalankan, punca kejadian disebabkan berlaku perlanggaran kecil melibatkan bot penambang yang mengambil penumpang di jeti, namun dalam kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerugian yang besar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Susulan itu, Arif berkata, kedua-dua pihak dipanggil ke balai polis untuk dirakam percakapan dan diambil butiran diri masing-masing.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai dan tidak memanjangkan perkara tersebut memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan," katanya.
Sehubungan itu, Arif menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu tersebut untuk mengelak kegusaran di kalangan penduduk setempat.
Sebelum itu, dalam video berdurasi 54 saat memaparkan tiga individu saling bergaduh di kawasan jeti sebelum dileraikan seorang individu lain dalam kejadian tersebut.