Perjanjian gencatan senjata Gaza ditangguh kerana syarat baharu Israel - Hamas

Iklan
Khemah-khemah untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dilihat berhampiran tempat pembuangan sampah di kem pelarian al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

GAZA CITY - Kumpulan Palestin, Hamas pada Rabu berkata bahawa perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza ditangguhkan akibat syarat baharu yang ditetapkan oleh Israel, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan ringkas, Hamas berkata, pihaknya menunjukkan fleksibiliti dan tanggungjawab semasa rundingan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berlangsung di Doha dengan pengantaraan Qatar dan Mesir.

Iklan
Iklan

"Pendudukan (Israel) menetapkan isu dan syarat baharu berkaitan pengunduran, gencatan senjata, tahanan dan pemulangan pelarian, yang menangguhkan mencapai persetujuan yang ada," tambahnya.

Tiada komen daripada kerajaan Israel mengenai kenyataan Hamas.

Iklan

Pada Selasa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata bahawa pasukan perunding Israel akan kembali dari Qatar untuk berunding mengenai perjanjian pertukaran tahanan yang berpotensi dengan Hamas.

Pemerhati, bagaimanapun melihat pengumuman Netanyahu sebagai sebahagian daripada corak penangguhan dalam rundingan.

Iklan

Sejak satu-satunya gencatan senjata pada akhir November 2023, pemimpin Israel itu telah memberi bayangan mengenai kemajuan rundingan untuk pertukaran tahanan dan kemungkinan gencatan senjata, hanya untuk kemudian menegaskan semula operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza.

Israel dipercayai menahan lebih 10,300 tahanan Palestin, manakala kira-kira 100 tawanan Israel berada di Gaza. Hamas menyatakan puluhan tawanan terbunuh dalam serangan udara Israel yang tidak terkawal.

Israel meneruskan perang genosid di Gaza yang membunuh hampir 45,400 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.

Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. - Bernama