20 tan minyak sawit membeku kesan kemalangan lori di Karak

Iklan
Kerja pembersihan tumpahan minyak yang membeku susulan insiden kemalangan lori tangki muatan minyak sawit pada Rabu.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Insiden kemalangan lori di Kilometer 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur pada Rabu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 20 tan minyak kelapa sawit tumpah dan telah membeku dengan lapisan tebal di dalam longkang serta sum lebuh raya itu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, kontraktor yang dilantik bersama Air Selangor dan Indah Water Konsortium (IWK) sedang mempergiatkan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga jam 12.30 tengah hari Khamis, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu telah mencapai tahap 65 peratus dengan empat lori tangki IWK digunakan bagi menyedut sisa minyak di sum lebuh raya.

"Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pembersihan

Iklan

"Air Selangor telah menambah bilangan tenaga kerja keseluruhan 50 orang untuk mempercepatkan proses pembersihan melibatkan kerja menyodok keluar sisa minyak yang telah membeku dengan lapisan yang tebal," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS terus berada di tapak memantau rapi kerja-kerja berkenaan.

Iklan

Pada Rabu, media melaporkan insiden kemalangan lori tangki muatan minyak kelapa sawit di lokasi kejadian telah menyebabkan tumpahan minyak daripada kenderaan itu yang mengalir ke longkang berhampiran dianggarkan sepanjang 150 meter.

Semakan LUAS mendapati terdapat limpahan tumpahan tersebut di sum lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak dan aliran tumpahan tersebut telah membeku.

LUAS telah menyelaraskan kerja-kerja penyedutan dan pembersihan di lokasi dengan kadar segera melalui kontraktor yang dilantik.