JASIN - Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian pada jam 6.30 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki empat wanita yang juga pelajar UTeM berusia 19 hingga 21 tahun.
"Akibatnya, penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri maut di lokasi kemalangan susulan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, mereka yang maut merupakan Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun.
"Sementara itu, dua lagi rakannya iaitu pemandu berusia 20 tahun dan penumpang belakang sebelah kanan berusia 21 tahun selamat, masing-masing mengalami kecederaan di kaki selain luka-luka ringan.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataannya memaklumkan lapan anggota termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Perodua Myvi terbabas dan terdapat dua mangsa wanita berusia 20-an berjaya keluar. Terdapat dua mangsa wanita tersepit dalam kenderaan yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.
"Komander operasi lapor dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.