Juruanalisis didakwa jadi keldai akaun

Iklan
Kalaivani mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjadi keldai akaun melibatkan kerugian RM750.

BALIK PULAU - Seorang juruanalisis sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjadi keldai akaun melibatkan kerugian RM750 di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

K Kalaivani, 44, dituduh menyerahkan kad ATM miliknya kepada seorang lelaki yang beralamat di Chemor, Perak melalui penghantaran kurier.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dari Petaling Jaya, Selangor dituduh dalam milikannya iaitu di dalam sebuah akaun banknya wang berjumlah RM750 milik seorang wanita lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Gertak Sanggul, Bayan Lepas pada jam 12.42 tengah hari, 13 Disember lalu.

Iklan

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong di hadapan Majistret Chia Huey Ting, manakala tertuduh diwakili peguam MV Yoges.

Iklan

Jin Hong menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun Yoges memohon jaminan minimum daripada mahkamah.

Kata Yoges, anak guammnya mengalami masalah kesihatan iaitu pada kedua-dua buku lalinya dan masalah hormon.

"Anak guam saya berusia 44 tahun dan penanggung kewangan tunggal keluarga. Dia bekerja sebagai juruanalisis secara tetap sejak 11 tahun lalu dengan gaji RM3,500 sebulan.

"Selain itu, tertuduh telah menyerahkan kad ATMnya kepada along untuk proses meminjam wang selepas suaminya kehilangan kerja. Sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut," katanya.

Tambah Yoges, tertuduh mengalami masalah kewangan menyebabkan dia terpaksa meminjam daripada along.

"Sehubungan itu, saya memohon wang jaminan yang minimum.

"Tambahan pula, kerugian hanya melibatkan RM750 yang mana tawaran jaminan RM10,000 adalah 10 kali ganda daripada jumlah kerugian," jelasnya.

Huey Ting kemudiannya menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin terhadap Kalaivani.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Difahamkan, ahli keluarga tertuduh telah membayar wang jaminan tersebut pada Khamis.