BESUT - Suasana di jeti Kuala Besut di sini bagaikan pesta apabila orang ramai menyerbu pelbagai spesies udang putih segar dibawa pulang nelayan dari pesisir laut.
Seorang peniaga, Nurul Izwani Mohamad, 35, berkata, hasil tangkapan itu akan dibawa ke daratan di jeti Kampung Nail, Kuala Besut di sini sekitar jam 5.30 petang hingga jam 7 malam pada setiap hari.
Menurutnya, musim kawanan udang mudah di dapati selepas banjir bermula pertengahan November lalu dan biasanya akan berakhir antara Mac hingga April tahun depan.
"Udang ini hanya datang pada musim banjir, selagi tak datang banjir tiada udang ni dan setiap kali ada hasil apabila turun ke laut kita akan terus jual kepada orang ramai. Hanya hari tiada hasil sahaja kita akan tutup jualan.
"Musim udang tahun ni bermula agak lewat sedikit berbanding kebiasaan iaitu pada Disember dan akan berakhir antara Mac hingga April tahun depan.
"Selepas itu, kemeriahan hasil laut di Terengganu akan disambung pula dengan musim mencandat sotong," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Nurul Izwani menjalankan perniagaan hasil laut diusahakan bapanya sejak 20 tahun lalu bersama suaminya, Roszaimee Mohmad, 35, menggunakan dua buah bot milik sendiri dan lima bot carter.
Katanya, lokasi pencarian udang meliputi kawasan pesisir pantai di Besut sehingga ke Setiu.
"Antara udang yang kita biasa kita dapat ialah udang ako atau udang putih gred A dijual dengan harga RM57 (sekilogram), udang muda (RM45), udang putih (RM35), udang kaki lipan (RM20) dan udang halus (RM10).
"Disebabkan kita jual secara terus dari bot sendiri, kita boleh jual dengan harga lebih murah. Biasanya harga udang ako di pasaran luar RM60 lebih.
"Macam udang kaki lipan, di sini kita jual RM20 kat pasaran luar RM25. Udang halus pula kita dapat jual harga RM10, kalau di luar harganya antara RM12 hingga RM15," katanya.
Selain itu, Nurul Izwani berkata, terdapat sejenis udang yang mendapat permintaan tinggi iaitu udang harimau di mana harganya mencecah RM85 sekilogram.
"Udang ini susah nak dapat, biasanya kita dapat dalam tiga, empat ekor setiap kali turun. Disebabkan ia agak terhad, terdapat pelanggan tetap yang telah menempahnya sejak awal.
"Untuk udang jenis ako juga permintaan kita terima amat tinggi. Ramai pelanggan dari jauh termasuk dari Kuala Lumpur datang ke sini semata-mata untuk dapatkan udang ini," ujarnya.
Sementara itu, Roszaimee berkata, mereka meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sehari hasil jualan hasil laut tersebut.
"Dalam sehari kita dapat sekitar 200 kg udang pelbagai jenis setiap hari. Hasil tangkapan tahun ini agak berkurangan berbanding tahun lepas.
"Tahun lalu kita pernah dapat paling banyak mencecah 600 kg untuk sekali tangkapan," katanya.