KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak umum seperti diputuskan Mahkamah Syariah Terengganu terhadap pesalah tegar khalwat adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam menjunjung syariat Islam sebagai undang-undang yang membawa keadilan serta kesejahteraan kepada seluruh umat manusia.
Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu, Ismail Osman berkata, hukuman sebat itu bukan sahaja bertujuan mendidik pelaku dan memberi peringatan kepada masyarakat malah pelaksanaannya dilakukan dengan penuh hikmah iaitu menggunakan rotan kecil secara sederhana serta tidak mencederakan individu tersebut.
"Ia selaras dengan prinsip rahmah (kasih sayang) dan hikmah (kebijaksanaan) dalam Islam bertujuan membina keinsafan dan bukan menimbulkan penderitaan atau hanya bertujuan memalukan semata-mata.
"Pelaksanaan hukuman ini juga memberikan pengajaran langsung kepada masyarakat mengenai keadilan dan keberkesanan syariah dalam menangani isu moral.
"Ia mendidik rakyat agar menjauhi maksiat, menghormati undang-undang syariah dan membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab serta bermaruah," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pelaksanaan hukuman itu juga mencerminkan komitmen berterusan Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu terhadap usul pemerkasaan syariah yang telah diluluskan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-70.
Menurutnya, langkah tersebut memperkukuhkan kedudukan undang-undang syariah melalui penubuhan jawatankuasa dan sekretariat khusus bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
"Sebagai sebuah negeri yang menjunjung syariah, Terengganu menonjolkan dirinya sebagai model pentadbiran Islam yang harmoni dengan kerangka perlembagaan Malaysia.
"Pelaksanaan ini memberikan mesej jelas kepada dunia bahawa syariah adalah sistem undang-undang yang adil, penuh hikmah, dan mampu membawa kesejahteraan sejagat.
"Pelaksanaan ini adalah bukti bahawa Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin mampu memberikan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat. Ia mengukuhkan kedudukan Islam sebagai sistem yang mendidik, adil dan membawa rahmat kepada semua manusia," jelas beliau.
Justeru, Ismail menyeru seluruh rakyat Terengganu supaya menerima pelaksanaan hukuman syariah ini dengan hati terbuka dan menjadikan ia sebagai langkah mendidik dan memelihara keharmonian masyarakat.
"Sesungguhnya, undang-undang syariah adalah rahmat yang membawa keadilan dan kesejahteraan untuk dunia dan akhirat.
"Kami turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mahkamah Syariah Terengganu atas keberanian dan komitmen dalam melaksanakan hukuman ini dengan penuh hikmah.
"Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi ini agar terus menjadi teras keadilan yang menjaga kesucian hukum ALLAH di negeri ini," katanya.
Jumaat ini, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.